Singapura: Shahfiq Ghani muncul wira apabila jaringannya dua minit
sebelum tamat perlawanan membantu Lions XII menewaskan Kelantan di
Stadium Jalan Besar, malam tadi.
Kemenangan itu bukan saja menebus kekalahan tewas 1-2 kepada The
Red Warriors (TRW) di gelanggang sama musim lalu, tetapi juga
membolehkan anak buah V Sundramoorthy melonjak satu tangga di tempat
ketiga liga dengan 17 mata.
Kekalahan Kelantan pula menyaksikan juara bertahan itu terus buntu
mengukir kemenangan sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Bojan Hodak
kekal berada di pertengahan liga dengan 11 mata daripada 10 perlawanan.
Sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan bertafakur selama
seminit bagi menghormati anggota polis yang terkorban di Lahad Datu dan
Semporna, Sabah dan kerjasama antara Persatuan Bola sepak Malaysia
(FAM) serta Persatuan Bola sepak Singapura (FAS) itu mendapat sokongan
penyokong Lions XII.
Lepas perangkap ofsaid
Sebaik aksi bermula, tuan rumah tampak garang apabila mengasak ke
kubu TRW sehingga mencemaskan benteng pelawat apabila Shahfiq melepasi
perangkap ofsaid namun penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sempat
menampan bola rembatan penyerang itu.
Malang buat pelawat apabila rembatan deras Keita Mandjou dari
luar kotak penalti pada minit ke-11 yang tepat menerjah jaring
dibatalkan pengadil perlawanan, Lismotia Mohen selepas mendapati
penyerang import itu ofsaid sekali gus menyaksikan kedudukan 0-0 kekal
hingga tamat babak pertama.
Ketika kedua-dua pasukan seolah-olah berpuas hati berkongsi mata,
muncul Shahfiq yang bijak melepasi perangkap ofsaid apabila berlari
pantas untuk menyambar bola sebelum mudah menolak masuk menewaskan
Khairul Fahmi bagi memastikan kemenangan Lions XII pada minit ke-88.
sumber : Bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan