KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Tunku Mahkota Johor,
Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak membawa perkara-perkara 'pelik'
dalam Liga Malaysia kerana sistem yang ada sepatutnya sudah cukup baik
sekiranya dipatuhi.
Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir bola sepak negara
terutama berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang
terbaru, apabila pasukan Johor Darul Takzim membawa Anggota Rejimen
Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.
Beliau berkata, tindakan mengambil pemain pasukan lain melalui 'pintu
belakang' sepatutnya tidak berlaku dan bola sepak negara juga tidak
pernah dilanda kegawatan sehingga memerlukan pengurusan menyediakan
sepasukan askar untuk mengawal ketat pemain mereka.
Justeru, beliau menyeru Tunku Mahkota Johor yang juga merupakan
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta semua individu
lain tidak kira pangkat sekiranya mahu menerajui sesebuah persatuan bola
sepak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ada.
"Saya jarang hendak memberi komen secara terbuka kepada Tunku Mahkota
Johor selaku Presiden PBNJ. Sekarang saya harus lebih terbuka supaya
dia (Tunku Mahkota Johor ) faham.
"Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara.
Sekarang timbul soal mengambil pemain secara pintu belakang, bawa masuk
GGK dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.
"Sebagai orang lama, saya sebagai Presiden dan dia juga sebagai
Presiden, saya mahu nasihat dia dan dia juga pernah menasihati saya
sebelum ini.
"Tak perlu bawa benda pelik dalam bola sepak negara, buat seperti
biasa sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal
Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor di sini, semalam.
Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim membawa masuk GGK di stadium
sehingga menimbulkan polemik adakah Stadium Sultan Muhammad IV di Kota
Bharu tidak selamat.
Pertembungan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan sekadar di
atas padang kerana sebelum liga bermula perbalahan telah timbul
membabitkan perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang
didakwa KAFA sebagai salah.
Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat
Jawatankuasa Pusat menjelaskan tindakan Norshahrul tidak salah. Selain
itu, tindakan membawa GGK, FAM turut mengatakan tidak ada kesalahan.
Dalam pada itu Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu,
secara sinis berkata, setakat ini Johor Darul Takzim tidak pernah
melakukan kesalahan.
"Ambil Norshahrul runding pintu belakang tidak salah, bagi sijil
perpindahan sebelum menyelesaikan hutang tidak salah, bawak masuk
senjata pun tidak salah. Setakat ini yang saya tahu bagi FAM Johor tidak
pernah salah. Kelantan sahaja yang salah," katanya lagi.
Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan