SEBAHAGIAN penyokong yang datang ke LTSIP di Kota Bharu semalam untuk menyambut kepulangan skuad Kelantan |
KEPULANGAN skuad The Red Warriors ke bumi Che Siti Wan Kembang
disambut meriah apabila lebih 10,000 peminat setianya berhimpun di
pekarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa
dekat Kota Bharu semalam.
Meskipun tiba agak lewat daripada waktu yang dijadualkan, namun ia
tidak melunturkan semangat para penyokong untuk melihat lebih dekat
wira-wira kesayangan mereka.
Bukan itu sahaja, mereka turut berbaris di sepanjang laluan daripada
LTSIP ke Kota Bharu Trade Centre (KTC) sambil mengibarkan bendera negeri
dan The Red Warriors sebagai tanda sokongan kepada pasukan.
Ketibaan skuad kendalian Bojan Hodak itu disambut oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussain.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Bendahari UMNO negeri, Datuk Hanapi Mamat.
Sejurus selepas itu, para pemain dibawa menaiki bas menuju ke KTC
untuk menghadiri majlis ringkas diiringi oleh pasukan konvoi motosikal
berkuasa tinggi dan beberapa buah kenderaan pacuan empat roda.
Sementara itu, seorang penyokong setia Kelantan, Wan Saipul Azwal Wan Mohammad menyifatkan kejayaan trebel yang dilakar oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu cukup mengujakan.
"Inilah kali pertama kita menjulang kejuaraan trebel. Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh penyokong setia The Red Warriors.
"Saya akui perlawanan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup
sengit, walaupun tanpa Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad kita
masih mampu melakar kejayaan.
"Ini membuktikan ketiadaan dua tonggak tersebut tidak menjejaskan
tumpuan pasukan dan akhirnya kita berjaya melakar kejayaan," katanya.
Seorang lagi penyokong Abdul Fattah Mustapha berkata, kejayaan menjulang kejuaraan trebel bakal menjadi kenangan terindah buat seluruh rakyat di negeri Kelantan.
"Sejarah ini akan dikenang sampai bila-bila. Bukan mudah untuk berada
pada tahap ini dan saya berharap kita dapat mengekalkan kejuaraan ini
pada musim hadapan.
"Syabas dan tahniah buat seluruh pemain, pengurusan Persatuan Bola
Sepak Kelantan (KAFA) serta penyokong setia atas kejuaraan ini,"
jelasnya.
Sumber : Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan