KOTA BHARU - Tersingkir daripada saingan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas tewas dengan agregat 2-6 pada
peringkat suku akhir kepada pasukan Iraq, Arbil FC tidak akan
menjejaskan fokus Kelantan dalam misi memenangi Piala Malaysia musim
ini.
Jurulatihnya, Bojan Hodak percaya pasukannya masih pilihan utama
untuk menjuarai piala paling berprestij itu dalam usaha mencipta
kejuaraan treble tahun ini selepas memenangi Piala FA dan Liga Super.
Menurutnya, kejayaan pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah di
Stadium Sultan Muhammad IV sejak lebih setahun lalu selepas seri 1-1
dengan Arbil FC, merupakan satu lonjakan moral untuk anak buahnya.
"Saya sentiasa yakin dalam setiap perlawanan. Kami ada skuad yang
bagus dan bermain dengan baik jadi kami sangat yakin untuk memenanginya.
"Tambahan pula Liga Super dan Piala FA sudah kami menangi jadi tiada
lain yang menjadi pilihan selain kami cuma seperti semua pasukan,
Kelantan perlu berusaha 200 peratus," katanya pada sidang akhbar selepas
perlawanan menentang Arbil FC di Kota Bharu semalam.
Perlawanan tersebut menyaksikan Kelantan menguasai keseluruhan
permainan dengan beberapa peluang mencipta jaringan namun ketinggalan
0-1 pada separuh masa kedua.
Ketika Kelantan dilihat bakal menerima kekalahan, asakan bertali arus
ke kubu lawan akhirnya membuahkan hasil melalui penalti oleh penyerang
mereka, Mohd. Ghaddar pada minit ke-93.
Mengulas perlawanan itu, Hodak percaya Kelantan merupakan pasukan
terbaik di sepanjang perlawanan namun anak buahnya gagal memanfaatkan
peluang gol.
"Jika anda bertemu dengan pasukan seperti Arbil FC, anda perlu
memanfaatkan peluang yang ada kerana jika tidak mereka akan menghukum
anda.
"Jika kami menjaringkan gol pada separuh masa pertama, ia pasti akan
mengubah corak perlawanan dan kami pasti memperolehi keputusan yang
berbeza," ujarnya.
Kelantan akan memulakan saingan suku akhir Piala Malaysia Sabtu ini bertemu Felda United di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Sumber : Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan