30 Sep 2012

Kelantan pamer bisa

Melaka: Hasrat pasukan kelab, FELDA United mencipta kejutan ke atas Juara Liga Super, Kelantan pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia tidak kesampaian selepas tewas 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Beraksi di gelanggang sendiri, pelawat terlebih dulu mendapat peluang untuk membuka jaringan, namun percubaan pemain pinjaman dari Kuala Lumpur, Mohd Afiq Azmi pada minit ke-8 berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Mohd Suffian Abd Rahman. 


Anak buah E Elavarasan bagaimanapun tidak hanya menahan asakan pasukan lawan sebaliknya masih mampu menguji kekebalan Khairul Fahmi Che Mat dan paling hampir menerusi rembatan Sivakumar yang menggegar palang gol.

Tukar formasi

Kemasukan tonggak import, Mohammed Ghaddar bagi menggantikan Afiq di separuh masa kedua berjaya menukar formasi permainan The Red Warriors sehingga memaksa Mohd Suffian bekerja keras.

Percaturan itu jelas membuahkan hasil apabila pada minit ke-56 rembatan Ghaddar yang ditepis Mohd Suffian pantas disambut pemain sayap, Nurul Azwan Roya untuk gol pembukaan.

Gol pelawat itu membangkitkan FELDA dengan memperkemaskan permainan dan rembatan kapten pasukan, Farderin Kadir pada minit ke-73, tersasar ke sebelah kiri pintu gol.
Empat minit kemudian, Kelantan sebaliknya memperoleh gol kedua dan kali ini terhasil menerusi pemain berpengalaman, Indra Putra Mahyuddin selepas berlaku salah faham antara Mohd Suffian dengan pemain pertahanan, Addy Viator.

Bagaimanapun, bekas pemain skuad Kijang, Khairan Ezuan Razali berjaya mencuri peluang pada minit ke-80 selepas tandukannya gagal ditepis Khairul Fahmi untuk menjadikan kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat. 
 
Sumber : Bharian

Tiada ulasan: