13 Dis 2011

FAM Guna Format Terbuka Untuk Liga Malaysia Musim Depan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menggunakan format liga secara terbuka bagi musim Liga Malaysia 2012 bermula 10 Jan depan berbanding pertandingan secara berkumpulan sebelum ini.

Menurut kenyataan FAM, setiap pasukan yang bertanding akan bermain secara timbal balik dan pasukan yang mengumpul mata tertinggi sama ada Liga Super dan Liga Perdana akan meraih kejuaraan.

Sebanyak 14 pasukan akan bertanding dalam Liga Super yang bermula 10 Jan ini manakala 12 pasukan akan bertanding dalam Liga Perdana yang bermula pada 13 Jan.

Pada undian Liga Super pada Selasa, juara Liga Super musim ini, Kelantan diundi di kedudukan ketiga manakala naib juara, Terengganu yang juga naib juara Piala Malaysia musim ini diundi pada kedudukan ke-13.

Pertandingan Liga Perdana turut menyaksikan kemasukan beberapa pasukan kelab seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) FC dan juara Liga FAM musim ini, Betaria FC dari Negeri Sembilan.

Keputusan perlawanan Piala Sumbangsih antara Kelantan bertemu dengan juara Piala Malaysia musim ini, Negeri Sembilan, di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV pada 7 Jan depan tidak akan dikira mata untuk Liga Super berbanding sebelum ini.

Sementara itu dalam undian Piala FA, juara sebanyak dua kali Perak berdepan laluan getir apabila dijadualkan bertemu pasukan yang diperkuatkan dengan beberapa bintang dari Liga Super iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan pertama 18 Feb ini.

Juara Piala FA sebanyak dua kali, Negeri Sembilan turut berdepan laluan sukar selepas diundi bertemu dengan Johor FC yang kini dibimbing bekas jurulatih Selangor, K. Devan.

Bagaimanapun juara bertahan Terengganu mempunyai laluan selesa untuk melangkah ke pusingan kedua pada 10 Mac depan setelah diundi bertemu dengan pasukan kelab dari Liga Perdana iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perlawanan suku akhir Piala FA akan diadakan pada 24 dan 27 Mac, separuh akhir pada 21 April dan 1 Mei manakala perlawanan akhir akan diadakan pada 19 Mei di venue yang belum ditetapkan.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: