KUALA LUMPUR - Selepas berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang menguji seorang pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi beberapa pertandingan bola sepak musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai oleh skuad Kijang buat pertama kali.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning yang merupakan bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon baru tiba di negara ini sejak beberapa hari lepas dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.
"Sekiranya beliau menepati kriteria, kita akan ikat kontrak dengan pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import yang terbaik untuk bermain dalam Liga Malaysia," katanya semalam.
Mengulas persediaan skuad Red Warriors untuk saingan bola sepak musim depan, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.
Beliau berkata, antaranya ialah pertemuan dengan Negeri Sembilan esok dan Perak Khamis ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Disember, dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Disember di Kota Bharu. "Semua perancangan kita untuk musim depan berjalan dengan baik dan pemain kini menjalani latihan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ekoran hujan lebat yang melanda Kelantan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan