22 Ogo 2011

T-Team kembali uji Kelantan

KOTA BHARU - Pasukan berstatus kelab, T-Team bakal menguji kehebatan juara bertahan, Kelantan apabila kedua-duanya turun berentap dalam aksi perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 10 malam, Rabu ini.
Pertemuan menentang pasukan bimbingan Yunus Alif itu sentiasa menjadi perhatian sepanjang musim ini memandangkan tiga bekas wira The Red Warriors musim lalu, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose memilih menyertai kelab tersebut secara ‘senyap’ tanpa pengetahuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) penghujung musim lalu.

Setiausaha Agungnya, Mohamad Noordin Awang berkata, perlawanan persahabatan itu cukup penting memandangkan itu merupakan perlawanan keempat bagi The Red Warriors sebelum mengakhiri persiapan dengan menguji Songkla FC pada 26 Ogos ini.

“Biasanya pertemuan menentang T-Team sentiasa ditunggu-tunggu penyokong setia Kelantan memandangkan kedua-dua pasukan sentiasa berusaha keras untuk menang setiap kali bertemu.

“Namun ini merupakan perlawanan persahabatan sebagai menghadapi persiapan kempen Piala Malaysia bagi kedua-dua pasukan.

“Saya fikir ia cukup memberi manfaat bagi kedua-dua pasukan bagi mencari barisan bayangan sebelum menghadapi perlawanan pertama kempen Piala Malaysia nanti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas perlawanan itu, semalam.

Beliau berharap, satu-satunya perlawanan persahabatan diaturkan Kafa di Kota Bharu ini, memberi peluang kepada peminat melihat persiapan terkini pasukan Kelantan yang mula menjalani latihan sejak 4 Ogos lalu.

Sementara itu, tiket perlawanan akan dijual bermula jam tiga petang di kaunter tiket stadium dengan harga RM10 bagi tempat duduk astaka dan RM5 bagi tempat duduk terbuka.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super musim ini berpihak kepada T-Team yang mencatatkan kemenangan 4-3 di Kuala Terengganu. Sementara dalam aksi timbal balik, pasukan T-Team muncul satu-satunya pasukan yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di Kota Bharu menerusi kemenangan tipis 2-1.

Dalam saingan kalah mati kempen Piala FA pula, Kelantan berjaya menumpaskan pasukan tersebut menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam masa permainan sebenar.

Untuk kempen Piala Malaysia musim ini, T-Team bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain pinjaman iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana, dari pasukan MP Muar FC, Mohd Fitri Omar dan Mohd Jibrail Kamaron Baharin (Pos Malaysia FC).

Sementara itu, Kelantan pula menggunakan khidmat dua pemain Pahang iaitu Azammuddin Mohd Akil dan R Surendran untuk kempen Piala Malaysia kali ini. -Sinar Harian

Tiada ulasan: