KOTA BHARU - Ketika skuad The Red Warriors sibuk mengadakan persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikejutkan dengan kenaikan kadar harga sewa padang dan stadium untuk sesi latihan selama dua jam.
Naib Presidennya, Rosmadi Ismail berkata, kenaikan itu menjadikan tarif sewa sekarang adalah RM1,200 berbanding RM650 sebelum ini dan ia sememangnya membebankan KAFA yang selama ini bergerak tanpa sokongan kewangan, apatah lagi geran penajaan dari kerajaan negeri.
"Kita amat terkejut dengan tindakan ini. Ia sudah semestinya membebankan KAFA kerana semua tahu bahawa setiap sen perbelanjaan melebihi pada yang kita jangkakan memberi beban kerana KAFA boleh dikatakan hanya bergerak dengan sokongan penajaan di samping kutipan jualan tiket semasa perlawanan.
"Maka dengan kenaikan itu ia boleh disifatkan sebagai tidak membantu usaha KAFA dalam membangun sukan bola sepak negeri di samping mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang diraih pada musim lalu," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau mengulas tindakan Perbadanan Stadium Kelantan yang menaikkan kadar sewa melalui surat yang dihantar bertarikh 3 Ogos lalu.
Sepanjang bulan Ramadan pasukan Kelantan menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammad IV pada waktu malam iaitu bermula pukul 10 sehingga 12 tengah malam.
Selain itu, Rosmadi berkata, pihak stadium tidak menyatakan alasan kukuh berhubung perkara berkaitan dan meminta supaya ia dikaji balik demi kepentingan semua pihak dalam membantu memajukan sukan bola sepak negeri khususnya.
Sementara itu, Presiden kelab The Red Warriors, Mohd. Zainy Mohd. Zain meminta kerajaan negeri prihatin dengan situasi yang ada seterusnya menarik balik keputusan tersebut.
"Saya sebagai rakyat serta penyokong setia bola sepak Kelantan merayu agar pihak kerajaan negeri janganlah menaikkan harga sewa yang terlalu tinggi kerana ini membebankan. Saya berharap kerajaan negeri memahami situasi di negeri Kelantan ini," katanya.
utusan
1 ulasan:
Hor laas... mugo kerajaan negeri ambik alih proses pembinaan lebuh raya kuala krai - kb. Kena pakai pitih banyok... haahahah.. harap ko kerajae pusat duduk melengahkan jah.. wak nayo anok kelate nak kelik rayo
Catat Ulasan