KOTA BHARU - Jurulatih skuad Red Warriors, Datuk M. Karathu menggunakan tempoh rehat selama tiga minggu untuk merencanakan persiapan terbaik menjelang pertemuan terakhir Liga Super menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 6 Julai ini.
"Selepas berehat seminggu, pemain kembali melaporkan diri menjalani latihan dua hari lalu.
"Saya tidak mahu memberi penekanan yang lebih terhadap pemain dalam sesi latihan ini memandangkan mereka telah lama bercuti.
"Sebaliknya, saya akan memberi penekanan kepada aspek meningkatkan tahap kecergasan terlebih dahulu.
"Kami hanya ada satu perlawanan sahaja lagi (bertemu Sabah) dan saya tidak mahu aspek ini tertinggal apabila kita menyambung kembali latihan sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Mengulas kecederaan otot paha yang dialami penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha, Karathu mengakui ia sedikit membimbangkan, namun berharap pemain itu pulih sebelum perlawanan menentang Sabah.
"Saya difahamkan Norshahrul masih mengalami kecederaan dan mungkin tidak boleh bermain menentang Taiwan pada perlawanan pertama pusingan kelayakan Piala Dunia pada 29 Jun. "Dia berpeluang bermain pada perlawanan timbal balas pada 3 Julai di tempat lawan. "Saya belum lagi berhubung dengannya. Saya akan memantau tahap kecederaannya. "Saya berharap dia segera sembuh dan mengikuti latihan fisioterapi dengan tersusun," katanya. -Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan