"KEKALAHAN teruk ini boleh dianggap satu malapetaka buat Selangor. Inilah kekalahan terbesar yang pernah kami alami. Saya memang tak sangka."
Tanpa mahu mengaitkan ia dipengaruhi unsur rasuah atau jual perlawanan, Devan berkata, punca sebenar adalah kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol, Saiful Amar Sudar serta barisan pertahanan diketuai Yosri Derma Raju dan Bunyamin Umar.
"Apabila sudah ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, susah untuk kami bangkit pada babak kedua. Semua pemain sudah tidak termotivasi lagi. Malah ada yang minta ditukarkan ketika di bilik persalinan.
"Dalam peringkat separuh akhir, pemain tak sepatutnya melakukan kesilapan. Lihat Khairul Fahmi Che Mat (penjaga gol Kelantan) bola keluar pun dia selamatkan. Saiful Amar pula jelas gugup," ujar Devan.
Lantas Iqbal Suhaimi yang dimasukkan pada minit ke-74 selepas gawang Selangor bolos sebanyak lima kali dijangka akan kembali merampas posisi penjaga gol utama pada aksi separuh akhir kedua di Kota Bharu malam esok.
Ditanya adakah mental para pemain Selangor begitu lemah sehingga mudah dipermainkan pemain-pemain Kelantan, Devan hanya berkata: "Apabila sudah dibolosi banyak gol, pemain jadi putus asa."
Devan bagaimanapun tetap mahu anak-anak buahnya memberikan yang terbaik malam esok biarpun sedar hanya kemenangan sekurang-kurangnya 5-0 mampu membawa Selangor layak ke final Piala FA pada 11 Jun depan.
"Memang satu tugas sukar. Tapi kami tetap perlu hadapi perlawanan kedua ini biarpun terus akan turun tanpa Khairul Anuar Baharum dan Razman Roslan yang cedera panjang.
"Kalau boleh, saya cuba untuk rehatkan beberapa pemain kerana kita kini perlu beri fokus untuk baki saingan Liga Super pula," tambah Devan. -Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan