KUALA LUMPUR - Pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin dan pertahanan Kelantan, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid antara dua muka baru daripada 24 pemain yang mendapat panggilan menjalani latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan pada 21 hingga 28 Mac ini.
Zaquan Adha yang baru pulih daripada kecederaan juga terlepas peluang apabila namanya tidak disenaraikan kali ini sementara penyerang Johor FC, Shahrizal Saad mengekalkan tempat selepas dipanggil kali pertama pada perlawanan persahabatan berdepan Hong Kong, 9 Februari lalu.
Latihan tersebut sempena persiapan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang akan bermula pada bulan Jun ini, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum dapat mengesahkan lawan yang akan ditemui Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan yang diatur 26 Mac ini.
Malaysia yang kini berada di ranking 138 dunia dan 21 di kalangan negara Asia selepas naik dua anak tangga pada bulan ini, perlu mendapatkan kedudukan ranking yang baik dalam usaha mengelakkan undian sukar pada pusingan awal kelayakan Piala Dunia.
Undian kelayakan Piala Dunia zon Asia dijangka berlangsung di Rumah AFC, 30 Mac ini serentak dengan pengundian pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik 2012.
Semua pemain akan menghadirkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 21 Mac ini. -utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan