17 Mac 2011

Kelantan atau Felda?

Itulah perkiraan yang bermain difikiran penyokong-penyokong setia Kelantan dan Felda United setelah kedua-dua pasukan hebat ini hanya sekadar melakar keputusan seri 2-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV selasa lepas.

Persoalannya mampukah Kelantan menembusi benteng pertahanan Felda United yang diketuai oleh Khaironnisam Shabudin yang begitu kental menahan asakan pemain-pemain Kelantan pada aksi pertama suku akhir Piala FA.



Kelantan yang terlalu bergantung harap kepada pengempur utama NorShahrul begitu terdesak untuk memperoleh kemenangan kerana hanya itu sahaja yang menjanjikan tempat keseparuh akhir.

Tempo permainan dijangka sedikitperlahan untuk perlawanan kedua ini kerana Felda akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kubu mereka dari dibolosi dan hanya sesekali akan mengatur serangan pantas ke kubu Kelantan.

Jurulatih Felda,E.Elavarasan akan cuba memainkan emosi pemain serta penyokong bagi 'membunuh' semangat juang pemain yang dilihat akan bermain bermati-matian bagi merealisasikan impian penyokong-penyokong TRW untuk 'makan angin' di Bukit Jalil sekali lagi.

Di atas kertas Felda United dilihat sudah boleh tersenyum lebar jika berjaya memperolehi keputusan seri tetapi harus diingat Kelantan sememangnya terkenal dengan semangat melawan seperti yang ada pada darah setiap penyokong-penyokong setia Kelantan.

Andai M.Karathu berjaya mencongak strategi ampuh, kekebalan pertahanan Felda pasti mudah dirobek walaupun Kelantan dilihat kekurangan penyerang berbisa setelah kehilangan pemain yang sedang meningkat naik Ramzul Zahini yang tercedera ketika menentang Negeri Sembilan tempohari.

Khalid Jamlus tidak boleh diletakkan dalam kesebelasan utama kerana ternyata gagal mempamerkan aksi seperti yang diharapkan.Khalid hanya boleh diturunkan sebagai 'supersub' sahaja bagi memastikan beliau dapat bermain dengan baik seperti yang ditunjukkan pada aksi menentang Negeri Sembilan.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa dalam facebooknya mengumumkan akan memberikan bonus khas jika berjaya mengalahkan Felda United.Beliau akan berjumpa dengan pemain esok bagi memberikan pesanan serta amanat khas.Khabar gembira ini sepatutnya melonjakkan lagi semangat pemain-pemain agar dapat memberikan komitmen penuh dalam perlawanan menentang Felda United nanti.

Tiada ulasan: