KOTA BHARU – Biarpun mencatatkan keputusan memberangsangkan setelah membelasah pasukan Wakaf Aik FC menerusi kemenangan 6-0 dalam perlawanan persahabatan petang semalam, namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak melihat keputusan tersebut, sebaliknya sedang menilai keserasian pemain bagi menghadapi pasukan Harimau Muda ‘A’ di Kota Bharu, Jumaat ini.
Karathu berkata, perlawanan persahabatan itu menjadi penanda aras kepada beliau untuk menilai sejauh mana corak permainan anak buahnya setelah aksi liga terhenti selama hampir dua minggu. “Walaupun pasukan lawan yang dihadapi tidak berapa kuat, apa yang penting saya dapat melihat bagaimana cara hantaran bola dan pergerakan pemain dilakukan. Tidak ada tekanan di bahagian pertahanan kerana ini merupakan perlawanan persahabatan biasa sahaja.
“Keputusan perlawanan tidak penting. Saya mahu mendapat idea bagaimana cara kita hendak bermain. Esok (hari ini) kesemua empat pemain yang bersama skuad kebangsaan akan melaporkan diri bersama pasukan.
“Kita ada masa tiga hari bagi melakukan persiapan menghadapi pasukan Harimau Muda setelah berehat sekian lama. Dari segi kecergasan pemain itu tidak ada masalah. Memang saya bagi rehat tiga hari kepada semua pemain selepas perlawanan suku akhir Piala FA tempoh hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, sebagai pemain profesional, mereka mesti memanfaatkan cuti tersebut dengan mengekalkan tahap kecergasan masing-masing kerana Kelantan terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat pada bulan depan.
“Perlawanan akan datang, kita memang tidak boleh ambil mudah kerana kita akan bermain sebanyak sembilan perlawanan. Selepas berehat panjang, pemain kini giat menjalani latihan sebelah pagi dan petang bermula Jumaat lalu bagi mengekalkan tahap kecergasan pemainnya.
“Pasukan Harimau Muda ini berorientasikan corak permainan laju. Mereka merupakan pasukan kebangsaan yang menghimpunkan ramai pemain terbaik. Saya sudah mengkaji corak persembahan mereka ketika menentang pasukan lain.
“Ini satu perlawanan (menentang Harimau Muda) yang cukup sukar. Pemain kita mesti memahami corak permainan mereka dan berusaha keras dalam sesi latihan untuk menghadapi corak permainan seperti ini.
“Masalah kita hanya di bahagian serangan kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama. Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) masih berehat panjang, Muhammad Khalid (Jamlus) juga mengalami kecederaan.
“Sebab itu saya mencuba Danial Fadzly dalam perlawanan persahabatan ini. Tidak banyak pilihan, yang tinggal Mohd Nizab dan S Chanturu sesuai digandingkan dengan Norshahrul Idlan di bahagian serangan,” katanya.- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan