9 Dis 2010

PBSMM janji aksi final lancar


TAKIYUDDIN (kiri) menunjukkan trofi Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 yang bakal menjadi rebutan Kelantan dan Kedah, Sabtu ini.


MUSIM tengkujuh yang melanda Pantai Timur ketika ini tidak akan mengganggu kelancaran perlawanan akhir kejohanan bola sepak Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 membabitkan pertemuan antara Kelantan dengan Kedah, Sabtu ini.
Aksi final bagi edisi ke-70 itu bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dengan sepak mula pada pukul 8.45 malam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak- nya telah mengarahkan supaya penggunaan stadium terbabit dihentikan sepanjang minggu ini bagi menjaga keadaan padangnya.
"Memang hujan sedang melanda Pantai Timur termasuk di Kota Bharu ketika ini tetapi kita telah mengambil langkah supaya padang di stadium berkenaan tidak teruk untuk aksi final nanti.
"Kita juga berdoa agar hujan tidak turun dengan lebat pada Sabtu ini untuk memastikan final berlangsung dalam keadaan lancar," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Ditanya mengenai pemilihan Kelantan sebagai pasukan tuan rumah final kali ini, Taki- yuddin menjelaskan, ia telah dipersetujui oleh barisan Exco PBSMM berdasarkan situasi Kedah menjadi tuan rumah final tahun lalu.
"Memang final biasanya diadakan di salah satu venue pasukan yang layak. Tahun lepas, Kedah menjadi tuan rumah kepada Perlis untuk aksi final di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
"Jadi memandangkan Kedah sekali lagi mara ke final, Exco PBSMM telah memilih Kota Bharu sebagai venue final kali ini," ujarnya.
Tiket bagi aksi final Sabtu ini dijual pada harga RM15 (tempat duduk astaka), RM10 (tempat duduk terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak.
Sementara itu, Takiyuddin menyatakan bahawa pasukan PBSMM hanya akan menyertai saingan Liga FAM pada musim 2012 kerana mereka belum bersedia untuk menyertainya musim 2011.
"Terus terang saya katakan bahawa faktor kewangan menjadi punca penangguhan ini. Kos semusim sekitar RM500,000 dan kita mungkin akan menyertainya menerusi penggabungan dengan pasukan Unisel," katanya

Tiada ulasan: