5 Dis 2010

Isu bonus: KAFA akan ambil tindakan tegas

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemainnya, Akmal Rizal Rakhli kerana mengeluarkan kenyataan memburukkan persatuan tersebut dan berunsur fitnah. 

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemain kebangsaan itu tidak tepat sama sekali kerana pihaknya masih belum membayar sebarang bonus kepada mana-mana pemain yang menjulang Piala Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata, KAFA sedang menunggu sumbangan daripada semua pihak termasuk Kerajaan Pas Kelantan sebelum bayaran bonus dibuat sepenuhnya kepada para pemain. 

"Jumlah bayaran kepada para pemain juga masih belum diputuskan lagi. Apa yang telah dibayar ialah bayaran sebagai ganti kepada yuran menandatangani perjanjian bagi mereka yang menyambung kontrak dan tambahan gaji kepada semua pemain yang terus berkhidmat dengan KAFA. 

"Saya percaya mereka yang pindah juga dapat benda sama dengan pasukan baru mereka, apakah KAFA kena samakan pemain yang setia dengan pasukan pemain yang lompat mencari wang lebih semata-mata," katanya kepada Mingguan Malaysia melalui pesanan khidmat ringkas (SMS), semalam. 

Beliau mengulas kenyataan Akmal yang mendakwa KAFA tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal dilaporkan mendakwa, dia bersama lima lagi pemain iaitu Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney Syed Hussin tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

"Saya dukacita dengan kenyataan buruk Akmal Rizal dan satu tindakan yang tegas akan diambil. 

"Tindakan juga akan diambil terhadap pemain dan bekas pemain yang membuat kenyataan tidak tepat dan bersifat fitnah terhadap KAFA," katanya. 

Bagaimanapun, Annuar tidak menjelaskan bentuk tindakan yang bakal diambil terhadap Akmal Rizal.

Tiada ulasan: