27 Nov 2010

FAM lega masalah KWSP hampir selesai

PETALING JAYA - Kecekapan pasukan negeri dan kelab menyelesaikan masalah pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat melegakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang musim baru Liga Malaysia, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau amat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh hampir semua pasukan yang mempunyai masalah dengan caruman KWSP dan potongan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Sekarang ini, kami sedang melakukan rumusan akhir bagi melihat kembali status piawaian bagi setiap pasukan yang telah menyelesaikan masalah ini dan saya akui semua pasukan telah mengambil tindakan dengan sebaiknya," katanya pada sidang media di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Menurut Hamidin, sebahagian besar pasukan telah pun menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh sebulan dan perkara itu, dijangka mampu diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

Jelasnya, kalau boleh pihaknya mahu masalah tersebut dapat diatasi sebelum menjelang perlawanan pertama musim 2011 melibatkan perlawanan Selangor bertemu Kelantan dalam saingan Piala Sumbangsih dan juga aksi pertama Liga Super pada 15 Januari depan.

"Kami juga telah mendengar taklimat daripada empat syarikat insurans bagi menyediakan khidmat insurans buat pemain serta pegawai pada musim depan dan perkara ini akan diperhalusi sekali lagi, minggu depan, bagi memutuskan syarikat mana yang akan dipilih.

"Mesyuarat hari ini (semalam) juga telah memutuskan tarikh tutup bagi pendaftaran pemain untuk Liga Super dan Liga Perdana ialah pada 15 Disember ini dan semua pasukan telah memberi persetujuan untuk beraksi pada sebelah malam bagi saingan Liga Malaysia musim depan," katanya.

FAM sebelum ini telah memberi pilihan kepada setiap pasukan Liga Malaysia sama ada ingin melangsungkan perlawanan pada sebelah malam atau petang.

"Hari perlawanan Liga Super, tahun depan, masih dikekalkan pada hari Selasa dan Sabtu, manakala, Liga Perdana dan Piala FA pada Isnin dan Jumaat, sementara, Piala Presiden pula diadakan hari Khamis.

"Kami juga telah memutuskan taklimat pengurus dan jurulatih bagi musim 2011 akan diadakan pada 22 Disember ini pukul 10 pagi, manakala, jadual pertandingan bagi saingan musim baru masih dalam proses pengesahan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Eksekutif FAM," katanya. - utusan online

Tiada ulasan: