15 Nov 2010

21 pemain kekal, empat dilepas

KOTA BHARU – Seramai 21 pemain skuad The Red Warriors yang menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini dikekalkan bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia musim 2011 yang dijadualkan bermula awal Januari depan. 

Sebahagian besar pemain yang dikekalkan itu merupakan pemain utama yang membarisi skuad kendalian B Sathianathan sepanjang mengharungi liga musim ini. Tiga daripada empat pemain yang tidak diperbaharui kontrak untuk musim depan itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan sepanjang musim ini sementara 

Difahamkan, beberapa tonggak utama skuad The Red Warriors seperti Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan pemain yang menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai musim ini, Norshahrul Idlan Talaha antara beberapa pemain yang terus kekal menabur bakti bersama Kelantan untuk musim depan. 

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, sebahagian besar pemain Kelantan musim ini dikekalkan setelah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pemain-pemain terbabit. 

“Daripada senarai 25 pemain musim ini, hanya empat pemain dilepaskan dan mereka diberi kebebasan untuk memilih pasukan baru pada musim hadapan. Teka-teki siapa empat pemain yang dilepaskan akan kita umumkan secara rasmi tidak lama lagi. 

“Terlampau banyak khabar angin yang tidak tepat diperkatakan sekarang. Saya tidak mahu ianya mengganggu konsentrasi para pemain terhadap pasukan kita. Kita sudah memberi cuti kepada semua pemain selama dua minggu bermula semalam bagi membolehkan mereka berehat bersama keluarga. 

“Banyak perkara perlu diselesaikan sebelum seseorang pemain menandatangani kontrak dengan kita. Daripada soal gaji dan lain-lain perkara, kita akan duduk berbincang dengan setiap pemain. Pihak Kafa juga akan memperhalusi secara terperinci butiran yang terkandung dalam kontrak tersebut sebelum kita mengadakan majlis menandatangani kontrak tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Azman berkata, Kafa mempunyai masa yang cukup dalam membentuk pasukan terkuat untuk musim depan memandangkan tarikh tutup pendaftaran bagi liga musim depan masih berbaki tiga minggu lagi. 

“Apa yang boleh saya katakan kita akan membawa masuk beberapa pemain dari luar bagi memperkuatkan pasukan kita. Kita akan mengumumkan senarai 25 pemain selewat-lewatnya hujung bulan ini kerana tarikh tutup pendaftaran pemain ialah pada 8 Disember nanti. Khidmat Ketua Jurulatih, B Sathianathan dikekalkan bagi membimbing pasukan Kelantan dan sebahagian besar pengendali dan pegawai pasukan juga turut dikekalkan. 

“Saya berharap peminat Kelantan tidak gusar dengan situasi ini. Akan tiba masanya nanti untuk kita umumkan secara rasmi. Biarlah pasukan lain mencanangkan tentang pembelian pemain itu ini, tetapi kita mempunyai cara yang tersendiri dalam melengkapkan senarai pemain kita bagi musim depan,” katanya. 

Sementara itu, Kelantan akan menentang Selangor dalam perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Shah Alam pada 8 Januari nanti bagi merebut Piala Sumbangsih. Perlawanan tersebut menemukan Kelantan selaku juara Piala Malaysia menentang Selangor, sebagai juara Liga Super musim ini. - sinar harian

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sini oyak lain,di blog lain oyak lain pulok..mano sow hk btl ni?tunggu pengumuman rasmi dr KAFA jahla sapo hk kekal,dop kekal thn dpn..huhuu

kelatefc the red warriors berkata...

jgn duk cayo sgt dlm blog...sesetengahnyo sajo cari publisiti...sbb tu gapo hok kawe tahu kawe xpost dlm ni kalu xdok kesahihan...apa yang pasti pemain2 sbnrya tgh 'pening' nk sain kontrak dgn TRW...oleh itu spekulasi2 liar jgn dilayan..tggu pengumuman rasmi dari KAFA@TSAM..ore lain xleh paka...