5 Jul 2010

Peluang Kelantan himpit Selangor



KOTA BHARU – Walaupun kempen Piala Dunia belum berakhir, tumpuan peminat bola sepak Kelantan tetap terarah kepada perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam esok.

Setiausaha Agung Kafa, Mohamad Noordin Awang berkata, tiga perlawanan persahabatan yang diharungi sewaktu berada di ibu negara baru-baru ini menjadi kayu pengukur kepada keupayaan ketika menentang Negeri Sembilan malam esok.

“Melihat kepada prestasi terkini pasukan Kelantan melalui tiga perlawanan itu, saya percaya Kelantan tidak menghadapi masalah untuk mencipta kemenangan pada perlawanan malam esok,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Sehubungan itu, saya berharap penyokong setia Kelantan dapat memenuhi stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita.

“Namun begitu, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemain Kelantan di samping suntikan semangat daripada ribuan penyokong Kelantan bakal menjadi penentu kepada kemenangan pasukan Kelantan.

Mohamad Noordin berkata, beliau berharap penyokong Kelantan terus mengekalkan tahap disiplin yang terbaik sewaktu menyaksikan perlawanan malam esok.

“Kafa berharap penyokong terus memberikan kerjasama yang baik, sebagaimana perlawanan yang terdahulu. Kita mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan para penyokong selama ini yang tidak lagi membaling sebarang objek terlarang termasuk membakar mercun dalam stadium.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Mohamad Noordin berkata, biarpun tanpa kelibat ‘kereta kebal’ Azizi Matt Rose, persiapan pasukan Kelantan tidak terjejas walaupun beliau tidak akan turun beraksi.

“Azizi (Matt Rose) digantung satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning. Walau bagaimanapun, saya percaya B Sathianathan mempunyai perancangan yang tersendiri untuk mencari pengganti beliau.

“Sudah pasti kemenangan malam esok mengukuhkan kedudukan kita di persada liga di samping terus memberi tekanan kepada Selangor yang akan menentang barisan pemain muda Perak di Ipoh.

“Kita berharap kemenangan malam esok mampu menyuntik semangat pemain Kelantan sebelum ke Shah Alam Jumaat ini bagi membuat perhitungan dengan Gergasi Lembah Kelang itu,” katanya. -Sinar Harian

Tiada ulasan: