|
|
KOTA BHARU - Meskipun ketinggalan dengan lima mata pada ketika saingan berbaki tiga perlawanan, Kelantan masih yakin peluang untuk menghambat Selangor dan merangkul gelaran Liga Super masih terbuka.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim menegaskan, pemain hanya perlu memberi tumpuan kepada baki saingan kerana peluang masih terbuka dan apa saja boleh berlaku menuju ke penghujung musim.
"Pada saya peluang masih lagi terbuka walaupun hanya berbaki tiga perlawanan. Kelebihan berpihak kepada kami kerana akan mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri dan satu di gelanggang Johor FC.
Dalam bola sepak apa saja boleh terjadi. Jurang lima mata masih boleh dirapatkan, yang penting kita terus memberi tentangan sengit hingga ke perlawanan terakhir," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Azman berkata, beliau berpuas dengan persembahan yang dipamer anak-anak buahnya ketika mengalahkan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium KLFA, Cheras kelmarin.
Katanya, kemenangan itu begitu berharga buat pasukan dalam usaha merapatkan jurang mata.
Dalam pada itu, Azman turut menghamburkan pujian buat penyokong setia Red Warriors yang terus memberi sokongan padu buat Kelantan.
"Walaupun kita bermain di tempat lawan, peminat tetap memberi sokongan padu. Saya ucapkan terima kasih sokongan yang tidak berbelah bagi itu.
"Sokongan sebegini memang diperlukan oleh pasukan dan saya harap mereka dapat meneruskan apa yang telah ditunjukkan pada musim ini," katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, Kelantan membuka tirai jaringan menerusi Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-29, yang menanduk bola hantaran Nor. Shahrul Idlan Talhah untuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.
Mohd. Badri Razi menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-62, juga menerusi tandukan.
Dengan kemenangan itu, Kelantan masih belum mengangkat bendera putih dalam usaha untuk memburu kejuaraan Liga Super musim ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan