|
|
KOTA BHARU - Sama kuat dan sama hebat, itulah di sebalik cerita pertemuan dua jaguh bola sepak tempatan, Kelantan dan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam yang berkesudahan terikat 1-1.
Ibarat pentas akhir, kedua-dua pasukan bagaikan dirasuk apabila mempamer aksi bertenaga dengan berbalas-balas serangan seolah mampu menjulang kejuaraan Liga Super biar pun masih berbaki empat perlawanan.
Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, beliau terpegun dengan semangat juang pemainnya yang mempamer aksi mantap untuk bangkit walaupun dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah.
Katanya, walaupun gagal mendapatkan tiga mata pada perlawanan itu, persembahan yang dipamer oleh anak-anak buahnya cukup membanggakan dan peluang Kelantan untuk memburu kejuaraan masih terbuka.
"Saya percaya kita boleh bermain lebih baik lagi dalam perlawanan malam semalam. Namun begitu, benteng pertahanan kita pula tidak berfungsi dengan baik dan terlalu banyak memberi ruang kepada pasukan lawan.
"Baki rehat yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum menentang Kuala Lumpur di Cheras Sabtu ini. Selepas ini, kita tidak lagi boleh kehilangan mata dalam setiap baki perlawanan yang bakal di tempuh," katanya ketika dihubungi semalam.
Sathianathan menambah, perlawanan kelmarin ibarat final kerana beliau percaya kedua-dua penyokong pasukan pasti berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.
"Boleh kena sakit jantung juga dibuatnya apabila melihat aksi malam semalam. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bahkan tempo permainan yang laju begitu menghiburkan penonton yang berada di stadium," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menghamburkan pujian terhadap sokongan peminat setia Kelantan pada perlawanan itu.
"Mereka tidak putus-putus memberi sokongan biarpun kita ketinggalan pada satu ketika. Sudah pasti saya berbangga kerana mempunyai penyokong seperti ini," ujarnya.
Pada perlawanan kelmarin, Selangor terlebih dahulu berada di depan menerusi Mohd. Amirul Hadi Zainal pada minit ke-59 selepas hasil rembatan padu menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd. Khairul Fahmi.
Gol penyamaan Kelantan hadir pada minit ke-64 menerusi ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin selepas menanduk masuk hantaran silang Nor Farhan Muhammad dari sebelah kanan.
Keputusan seri ini menyaksikan Kelantan terus menghambat pendahulu liga super Selangor yang hanya dibezakan dengan lima mata.
1 ulasan:
selangor takut doh...kelate bangkit
Catat Ulasan