28 Apr 2010

Sukarnya tanpa Awang import

PETALING JAYA - ''Skuad Selangor sukar bersaing dalam Piala AFC tanpa adanya pemain import.''
Itu luahan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelang pertemuan dengan Sriwijaya hari ini.

Tanpa mahu berselindung, beliau berkata, Selangor sudah cuba memberikan tentangan terbaik sepanjang beraksi dalam Kumpulan F.

Namun, hanya satu kemenangan sahaja yang berjaya dihasilkan dalam lima perlawanan oleh skuad Merah Kuning.

''Sebenarnya kedudukan yang dicapai oleh Selangor pada kempen Piala AFC sudah diagak kerana tanpa pemain import, kami sukar menyaingi kehebatan pasukan Sriwijaya dan Becamex Binh Duoang FC.
''Bukan saya mencari alasan ekoran kekalahan besar Selangor 0-4, kepada Becamex baru-baru ini tetapi kita tidak boleh menafikan kehadiran pemain import akan memberikan kesan kepada kekuatan pasukan,'' katanya di Wisma FAS.
Sambil memberikan rekod pencapaian Selangor dalam Piala AFC pada tahun 2006, Hamidin menegaskan, Selangor mampu mara ke peringkat suku akhir pada waktu itu kerana dibantu 'Awang' import.

''Namun, ia berbeza dengan waktu sekarang kerana kita terpaksa menggunakan pemain tempatan 100 peratus dan kami gagal melangkah ke pusingan seterusnya,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak berhasrat membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

''Perlu diingat, larangan menggunakan pemain import adalah keputusan yang diterima secara majoriti dalam majlis tertinggi dan kita harus menghormatinya,'' katanya.

Sementara itu, menjelang pertemuan dengan Sriwijaya, Devan memberitahu, beliau tetap mahu menurunkan barisan terbaik dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam Piala AFC.

''Walaupun menyedari kami sudah terkeluar daripada persaingan, itu tidak bermakna kita akan mengambil mudah dalam perlawanan hari ini.

''Dijangka khidmat penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad dapat diturunkan selepas berehat panjang namun kapten, Amri Yahyah masih cedera sementara Khairul Anuar Baharom pula menghadapi penggantungan perlawanan,'' jelasnya.

Bagi jurulatih Sriwijaya, Rahmat Dermawan, dia tetap menghormati pasukan Selangor yang disifatkannya agak kuat jika beraksi di Stadium Shah Alam.

''Kami tidak akan bermain secara lewa kerana mahu kekal di tangga teratas kumpulan tetapi jika seri atau menang tipis 1-0, itu pun sudah mencukupi,'' katanya.

Oleh Muhammad Dayne Azmin
dayne.ghazali@utusan.com.my

*Kelmarin Wan Jamak angkat bendera putih tak mahu bersaing dalam Piala AFC,Hari ini orang kuat pasukan Selangor pulak...Nampak gaya FAM kena fikir balik pasal pemain import ni

Tiada ulasan: