25 Apr 2010

Skuad Pantai Timur terus gegar


GELORA Pantai Timur menghambat Selangor dengan Terengganu dan Kelantan masing-masing meraih kemenangan untuk terus menekan pendahulu liga itu dalam saingan Liga Super, malam tadi. 

Jika Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan pasukan adik, T-Team untuk membantu mereka, hasratnya tidak kesampaian apabila Selangor tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan 3-0 di Stadium Shah Alam, menerusi dua gol Safee Sali pada minit ke-43 dan 51 dan Bunyamin Omar pada minit ke-34. Bunyamin menanduk masuk tolakan Nasriq Baharom sebelum Safee melayangkan badan untuk menanduk hantaran Safiq Rahim dari kanan manakala Safee menambah gol kedua peribadi dengan satu lagi tandukan hasil hantaran lintang sebelah kiri P Gunalan. 

Terengganu bimbingan Irfan juga meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Perlis, hasil jaringan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-15 dan m-58 serta Ashaari Shamsuddin (m-32, m-35) untuk terus berada di tangga kedua. 

Kelantan yang beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya umpama berada di Kota Bharu berikutan stadium dipenuhi lautan merah penyokongnya yang membanjiri perlawanan ketika berdepan KL Plus. 

Dan anak buah B Sathianathan tidak menghampakan apabila menang 3-0 menerusi dua ledakan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha pada babak pertama dan penyudah cantik Hairuddin Omar yang mengawal bola sebelum meledakkan voli pada separuh masa kedua, memastikan mereka tetap satu mata di belakang Terengganu.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC kembali menemui rentak kemenangan selepas menewaskan Johor 3-0 untuk kekal di tangga keempat. 

Selepas mengasak bertubi-tubi ke kawasan pelawat, tuan rumah memecah kebuntuan pada minit ke-36 selepas Mohd Irme Mat yang menerima umpanan Nurul Azwan Roya, menolak mudah ke gawang Johor. 

Tuan rumah mencipta jaringan kedua pada minit ke-67 hasil kuisan Azizan Baba selepas Mat Saiful Mohamad merembat dari luar kotak penalti manakala tandukan Mohd Izuan Jarudin pada minit ke-74 memastikan kemenangan mutlak ke atas pasukan ‘abang’. 

Bharian

Tiada ulasan: