11 Mac 2010

Kelantan mahu tebus kalah



Penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha (kiri) memantau latihan pemain pasukan Kelantan di padang Mardi, Pasir Tumboh, semalam.




KOTA BHARU - Skuad The Red Warriors bersedia sepenuhnya untuk berdepan pendahulu Liga Super, Selangor di gelanggang sendiri, esok.

Bukan itu sahaja, barisan pemain Kelantan turun penuh keazaman untuk menebus dua kekalahan pada musim lepas terutama perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan pasukan itu tewas dengan jaringan penalti.

Kelantan tidak pernah menang ke atas Selangor sejak kembali ke saingan liga berprestij ini dan hanya mampu mencatatkan keputusan seri ketika Stadium Bukit Jalil menjadi tuan rumah kepada skuad tersebut musim lepas.

Berbekalkan semangat itu, ketua pasukan Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin melaungkan amaran kepada Red Giants supaya berhati-hati kerana mereka akan turun dengan '12 pemain' termasuk sokongan padu para penonton.
Katanya, rakan-rakannya dalam pasukan juga turut mendapat suntikan semangat selepas mencatatkan kemenangan 1-0 keatas T-Team, Sabtu lalu di kubu lawan.

Pun begitu, beliau masih enggan mendabik dada dan menghormati kemampuan Selangor yang mempunyai barisan pemain berpengalaman.

"Selangor sebuah pasukan yang hebat. Saya dan rakan sepasukan tidak akan mengambil mudah perlawanan ini.
"Beraksi di tempat sendiri, kami turun bermati-matian dan memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan.

"Kami perlu berhati-hati dan perlu memberikan tumpuan kepada jentera serangannya yang diketuai Amri Yahyah serta barisan tengah yang mantap seperti Hardi Jaafar dan Bunyamin Omar.

"Apa pun kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Selangor dan tidak akan menghampakan sokongan penonton yang sentiasa bersama kami tanpa berbelah bagi," katanya.

Selangor kini mendahului Liga Super dengan mengumpul 22 mata manakala berada di tangga keempat dengan perbezaan tujuh mata tetapi Red Warriors kurang satu perlawanan.

"Sorakan padu penyokong dilihat mampu merubah dan mempengaruhi sesebuah perlawanan.
"Saya menyeru kepada seluruh penyokong datanglah beramai-ramai menyokong pasukan Kelantan dan memenuhi stadium pada malam itu," ujarnya.

Tiada ulasan: