18 Jan 2010

Belum cukup baik


KOTA BHARU - Dua keputusan seri dan satu kemenangan yang diperoleh oleh skuad Red Warrios di awal musim Liga Super belum cukup memuaskan hati jurulatih, B Sathianathan.

Mengakui berbangga dengan prestasi barisan pertahanan yang belum melepaskan sebarang gol, namun Sathia mengambil langkah segera dengan mengejutkan anak buahnya sejurus berakhir perlawanan dengan Perlis malam kelmarin.

Bekas Jurulatih skuad Kebangsaan ini mengingatkan kepada pemainnya bahawa Kelantan tidak boleh lagi kehilangan mata dan perlu mula bermain untuk mencapai kemenangan bagi setiap perlawanan yang diharungi.

“Saya telah kata setiap perlawanan Liga Super tidak mudah, pada perlawanan dengan Perlis kelmarin saya gembira dengan barisan pertahanan tetapi kita perlu membaiki penyudah walaupun banyak mencipta ruang.

“Pemain-pemain perlu bergerak lebih pantas untuk mendapatkan bola serta bijak ketika membuat penyudah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam perlawanan di Stadium utama Kangar, Kelantan yang mempunyai barisan bintang hanya mampu mencapai keputusan seri tanpa jaringan walaupun mencipta lebih banyak ruang untuk membolosi skuad Singa utara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Kedah esok, Sathia berkata, pihaknya tidak memandang remeh kepunyaan skuad Kenari itu walaupun mereka telah kalah dalam dua perlawanan sebelumnya.

Malah, keupayaan skuad Kedah bertambah dengan kehadiran ramai pemain dan bekas skuad kebangsaan sekali gus mampu membuat kejutan sekiranya pemain Kelantan tidak berhati-hati.

“Tidak mudah untuk menentang Kedah, kita mesti menghormati mereka lebih-lebih lagi mereka adalah juara berganda dan pemain yang mengapai kejuaraan itu sebahagian besar masih menjadi skuad tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sathia berkata, tahap kecederaan Nor Farhan Mohd kian pulih, namun beliau akan melakukan ujian kecergasan dan berharap tonggak Kelantan itu mampu untuk diturunkan malam esok.

Manakala pemain pertahanan, Zairol Fitri baru sahaja sembuh daripada kecederaan dan memerlukan masa untuk cergas sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, Sathia menasihatkan penyokong yang hadir di stadium nanti memberi sokongan penuh dan tidak melakukan tindakan negatif seperti membakar mercun dan membaling botol air bagi menunjukkan perasaan tidak puas hati.

“Saya mengharap penyokong memberi semangat kepada pemain di atas padang, namun dalam masa yang sama kita tunjukkan kepada negara penyokong Kelantan adalah penyabar dan sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan: