29 Nov 2009

Sokongan peminat tarik Azizi sertai Red Warrior's

KOTA BHARU - Bermula penglibatannya dalam arena bola sepak sejak di bangku sekolah rendah lagi, Azizi Matt Rose, 22, kini selesa setelah hampir sepuluh tahun berpengalaman dalam sukan ini.

Bekas pemain pertahanan Perlis, Kuala Lumpur dan Naza, kini telah dilamar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk membantu pasukan ini mencapai kejayaan merebut tiga piala musim hadapan.

Beliau telah menandatangani kontrak untuk beraksi dalam pasukan Red Warrior’s dan bersedia untuk memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan ini mencapai kejayaan.

Anak kelahiran Perlis itu berkata, penyokong Kelantan yang fanatik merupakan faktor utama menarik minat beliau untuk menyarung jersi Kelantan.

“Sebab utama saya ke sini adalah kerana penyokong. Penyokong Kelantan menarik minat saya untuk beraksi dalam pasukan ini lebih-lebih lagi sokongan yang diberikan amat menggalakkan.

“Saya berharap agar kedatangan saya dapat membantu pasukan ini mengecap kejayaan dan mencapai sasaran untuk membawa pulang tiga piala utama ke Kelantan,” katanya.

Selaku pemain baru, beliau tidak dapat lari dari saingan yang terdapat dalam pasukan Kelantan lebih-lebih lagi di beri tanggungjawab untuk menjaga gawang pertahanan Kelantan.

“Bagi saya saingan merupakan suatu perkara yang baik dan saya dah biasa dengan keadaan seperti ini. Peluang seperti ini merupakan yang terbaik untuk saya membuktikan keupayaan kepada peminat Kelantan.

“Saya berbangga diberi peluang untuk beraksi bersama Farisham, Zairul Fitree, Zamri Ramli dan Daudsu di bahagian pertahanan,” katanya.

Menurutnya, kedatangan dia ke situ tidak menjatuhkan namanya selaku pemain bola sepak kerana pasukan Kelantan telah membuktikan keupayaan setelah menewaskan pasukan Perlis pada perlawanan lalu.

Tiada ulasan: