12 Sep 2009

PFA Malaysia ditubuhkan

Alhamdulillah!!! akhirnya sebuah persatuan yang memperjuang dan mempertahankan hak pemain bola sepak profesional dalam Liga Malaysia telah ditubuhkan dengan rasminya pada khamis, 10.09.09 yang lalu. Persatuan ini dinamakan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia).

Setiausaha Agung PFA Malaysia Subramaniam E.R. berkata PFA Malaysia yang didaftar secara rasmi dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 16 Julai lepas adalah badan bergabung FIFPro, Persekutuan Antarabangsa bagi pertubuhan Pemain Bola Sepak Antarabangsa yang mewakili lebih 57,000 pemain profesional dari 60 negara anggota.

"Dengan pelancaran ini, PFA Malaysia akan mewakili pemain dalam perkara-perkara berkaitan dengan bayaran gaji, penamatan kontrak di tengah musim, terma kontrak.

Lain-lain perkara yang bermanfaat kepada pemain yang turut menjadi perhatian badan itu ialah soal wakil undang-undang, hak imej pemain, penerimaan komuniti, pengiktirafan pemain, persimpangan karier, persetujuan bersama dengan FAM dan kelab mereka.

Bagaimanapun menurutnya manfaat itu akan dinikmati oleh pemain profesional yang mendaftar sebagai anggota persatuan itu sahaja.

Terdapat tiga kategori anggota iaitu Individu (yuran pendaftaran RM100 dan yuran tahunan RM250), Persatuan (pendaftaran RM100 dan tahunan RM100), dan anggota kehormat (tiada yuran pendaftaran dan tahunan).

"Semua pemain yang aktif layak untuk mendaftar sebagai anggota manakala pemain yang sudah bersara boleh mendaftar sebagai anggota bersekutu PFA Malaysia," katanya.

Selain itu keanggotaan juga terbuka kepada pemain bola sepak wanita dalam liga nasional dan mereka yang mewakili negeri-negeri.

PFA Malaysia diberikan kelulusan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dan mendapat izin presidennya Sultan Ahmad Shah.

Penubuhan PFA Malaysia memang kena pada masanya bagi menangani pelbagai isu yang dihadapi dalam Liga Super dan Premier, seperti gaji pemain dan isu berkaitan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilaporkan menjangkau RM5.4 juta.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: