7 Jul 2009

Kelantan tekad bawa pulang tiga mata ke Kota Bharu

TIGA mata penuh mesti dibawa pulang ke Kota Bharu.

Walaupun misi tersebut dilihat sukar tetapi penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha yakin anak-anak buahnya mampu merealisasikannya.

Kelantan akan turun menentang Pulau Pinang malam ini di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Menurutnya, jika semua pemain mengekalkan komitmen yang tinggi, impian untuk meraih tiga mata penuh tidak mustahil untuk dicapai.

"Saya berharap agar pemain mengetepikan sikap sambil lewa seperti mana yang dipamerkan pada aksi menentang Pahang, Sabtu lalu dan ia hampir memerangkap diri sendiri.

"Kita tidak ada pilihan lain kecuali menang ke atas Pulau Pinang untuk menjamin kedudukan di tangga ketiga liga. Kedah pastinya menunggu masa yang sesuai untuk melompat ke tempat ketiga sekiranya kita tewas.

"Kita tidak mahu mengharapkan pasukan lain kalah untuk menjamin kedudukan kita tetapi kita mesti berusaha untuk menang. Kita kena buat kerja, itu yang paling penting," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, Pulau Pinang mungkin mempunyai kelebihan kerana bermain di tempat sendiri selain bebas daripada sebarang tekanan.

Katanya, situasi itu mungkin mencemaskan kem Kelantan tetapi pihak pengurusan sudah memberikan motivasi kepada pemain untuk mengatasi suasana yang bakal berlaku.

"Kita tidak ada strategi khusus apabila turun menentang Pulau Pinang. Kita akan bermain seperti biasa dan seperti biasa, kita tetap mengharapkan kemenangan pada perlawanan itu.

"Misi untuk mencabar kejuaraan liga atau tempat kedua mungkin sudah tertutup untuk kita tetapi peluang untuk berada di tempat ketiga masih terbuka. Hanya pemain sahaja yang boleh menentukan kejayaan pasukan," ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Pahang, Hashim berkata, aksi pada perlawanan itu sangat mengecewakan. Walaupun kita berjaya memenangi perlawanan tersebut tetapi pemain gagal memberikan komitmen yang penuh.

"Rizal (Fahmi), Che Hishamuddin (Hassan) dan Safuan (Ibrahim) kurang menonjol selain Shahrizan (Ismail) juga tidak berada pada prestasi sebenar, namun semua itu telah kita perbaiki," jelasnya.

Oleh KHAIRI MOHAMAD
mohdkhairi.mohamad
@kosmo.com.my

Tiada ulasan: