Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my
POLIS Kelantan menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan memberi 'lampu hijau' kepada pasukan Kelantan untuk beraksi semula di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya akan mengetatkan kawalan keselamatan agar kejadian buruk yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi.
Beliau juga berharap kepada semua penyokong bola sepak di Kelantan supaya bersikap profesional ketika mereka menyaksikan perlawanan yang akan diadakan nanti.
"Kita tidak mahu melihat kejadian sebelum ini akan terus berulang lagi dan sekiranya masih ada penyokong yang berbuat demikian, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan FAM yang membenarkan Kelantan meneruskan baki saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV berkuatkuasa serta merta.
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang petang Sabtu lalu, telah membuat keputusan menarik balik penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV yang dibuat jawatankuasa berkenaan pada 9 April lalu.
Abdul Rahim menambah, keputusan yang telah dibuat oleh FAM itu akan dirujuk kepada Setiuasaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu.
Katanya, pihaknya berharap keseluruhan perlawanan selepas ini akan berjalan dengan lancar dan tidak ada lagi kejadian yang tidak diingini sehingga boleh menggugat ketenteraman.
sumber : kosmo online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan