16 Jun 2009

Kelantan harap tuah gelanggang untuk bangkit

KUALA LUMPUR - Setelah dua minggu berehat, Liga Super kembali menyambung saingan hari ini dengan perlawanan melibatkan Kelantan yang kembali beraksi di laman sendiri paling menjadi tumpuan.

Kelantan pernah menerajui liga buat seketika, tetapi menjunam ke tangga ketujuh selepas 17 perlawanan, disebabkan hukuman beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil gara-gara rusuhan penyokong April lalu.

Kembali beraksi di Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bahru mulai hari ini dengan menentang UPB MyTeam merupakan rahmat buat skuad Red Warriors untuk ia mengembalikan ke prestasi seperti di awal musim.

Dalam hal ini, tiada individu yang lebih gembira selain Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa sememangnya mengharapkan Kelantan kembali beraksi di laman sendiri.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada mesyuarat 28 Mei lalu membuat keputusan menarik balik pengantungan Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bahru berkuatkuasa serta-merta.

Ketika dihubungi, Annuar berkata, esok merupakan detik bersejarah buat Kelantan apabila dapat kembali beraksi di depan penyokong sendiri.

''Sememangnya saya sentiasa mengharapkan Kelantan dapat kembali beraksi di Kota Bahru. Saya yakin dengan cara ini kita akan kembali ke prestasi seperti sebelum ini.

''Saya percaya para pemain akan beraksi dengan penuh bersemangat dan kembali dengan rentak kemenangan.

''Sepanjang liga berehat, kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan Proton FC dan Perlis, kita menang kedua-duanya.

''Saya harap Kelantan mampu bangkit setelah kembali dapat beraksi di venue sendiri,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Selain Kelantan, turut menjadi tumpuan hari ini pastinya saingan dua pasukan teratas, Selangor 40 mata yang diekori rapat oleh Perlis yang mengumpul 39 mata.

Perlis, yang beraksi 18 perlawanan berbanding 17 perlawanan oleh Selangor, pastinya mahu menggunakan peluang menentang pasukan kedua tercorot di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang untuk memintas Selangor.

Tiada lain yang diharapkan jurulatih Perlis Irfan Bakti agar Perak mampu mengejutkan Selangor di Stadium Perak, Ipoh.

''Memang kita berharap dapat memintas Selangor pada perlawanan esok (hari ini),'' katanya.

Walaupun berstatus peneraju liga, anak buah K. Devan tidak seharusnya alpa apabila berdepan percaturan taktikal M. Karathu di Stadium Perak kerana secara tradisinya perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan seimbang.

Mungkinkah Kedah mampu memintas Negeri Sembilan untuk menduduki tangga ketiga liga hari ini?

Jika menang ke atas Negeri Sembilan di laman sendiri, Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah bakal menyingkirkan Negeri Sembilan kerana kedua-dua pasukan hanya dibezakan satu mata.

Pada perlawanan lain, Terengganu (27 mata) mampu memperbaiki kedudukan dalam kelompok pertengahan liga apabila berdepan KL PLUS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. -Ihsan Utusan

Tiada ulasan: