10 Jun 2009

FAM perlu adil buat keputusan


STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah masih belum bersedia untuk menganjurkan sebarang perlawanan bola sepak.



Che Mat Jusoh



KERATAN muka depan Kosmo!
Rabu 3 Jun 2009.


TRAGEDI Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang hampir 50 peratus bumbung dan struktur binaannya runtuh pada 2 Jun lalu mengejut seluruh warga Malaysia.

Stadium yang baru berusia kira-kira setahun itu ranap menyembah bumi dan tragedi itu turut memberi tamparan hebat kepada dua pasukan bola sepak yang berpangkalan di negeri itu.

Stadium tersebut merupakan gelanggang utama pasukan Terengganu yang beraksi pada Liga Super dan T-Team yang menyertai Liga Perdana.

Kedua-dua pasukan ini bertuah apabila mereka dibenarkan beraksi di stadium baru yang menelan belanja hampir RM300 juta dengan kelengkapan serba moden dan canggih.

Ulasan ini sebenarnya tidak berhasrat untuk mengupas lebih lanjut mengenai tragedi tersebut mahupun membuat telahan mengenai nasib kedua-dua pasukan tersebut yang kehilangan vanue utama mereka.

Apa yang pasti nasib serta masa depan kedua-dua pasukan ini sama ada akan beralih ke stadium lama mereka iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang tidak berada dalam keadaan sempurna atau perlu bermain di stadium berkecuali hanya akan ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dari sudut lain pula, rasa kecewa dan 'terluka' diluahkan oleh puluhan ribu peminat pasukan jiran mereka Kelantan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh.

Kosmo! Jumaat lalu menyiarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau yang dipetik sebagai berkata: "Memang mustahil untuk kami (Terengganu dan T-Team) bermain di stadium berkecuali seperti mana yang berlaku ke atas Kelantan yang beraksi di Bukit Jalil."

Beliau juga memberitahu, perlawanan Liga Super antara Terengganu menentang KL Plus pada 16 Jun ini tetap akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah meskipun stadium tersebut tidak berada pada tahap memuaskan.

Untuk rekod dan makluman semua, Che Mat juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM dan mempunyai kuasa membenar atau menolak permohonan penggunaan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebagai venue tuan rumah perlawanan Terengganu dan T-Team.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! selepas ura-ura perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan akan dipindahkan ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah mendapati stadium tersebut tidak bersedia untuk menganjurkan sebarang perlawanan bola sepak.

Keadaan padang yang teruk selepas stadium tersebut dijadikan lokasi untuk Konsert Penghargaan Search di Awan Biru minggu lalu.

Lebih merumitkan, stadium tersebut juga menjadi venue untuk kejohanan kuda lasak, Sultan Cup 2009 yang bermula Ahad lalu.

Kosmo! juga difahamkan, sebahagian tempat duduk penonton di stadium yang dalam proses untuk dirobohkan itu telah dibuang manakala pagar yang memisahkan antara penonton dan padang juga telah dibuka.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan (Kelate. Net) Yatimin Abdullah memberitahu, kenyataan yang dikeluarkan oleh orang paling 'berkuasa' dalam Jawatakuasa Pertandingan FAM itu sebagai suatu yang membimbangkan.

Menurutnya, sebagai seorang yang mempunyai jawatan di dalam FAM serta jawatan tersebut pula berkait rapat dengan isu yang diperkatakan, Che Mat tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Walaupun FAM secara rasminya belum membuat sebarang keputusan, kenyataan tersebut dilihat sebagai keputusan awal kerana ia keluar daripada mulut seorang yang memiliki kuasa untuk tujuan itu.

"Apa yang dimaksudkan beliau sebagai mustahil? Apakah kerana ia melibatkan pasukan Terengganu dan ia menjadi mustahil sedangkan Kelantan terpaksa melalui semua itu sebelum ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, FAM perlu lebih telus dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan industri bola sepak tanah air dan paling penting ia mesti adil dan seimbang.

Katanya, isu mengenai venue pertandingan dan aspek teknikal berada di bawah kelolaan Jawatankuasa Pertandingan dan individu tersebut tidak seharusnya memberi gambaran seumpama itu.

"Beliau (Che Mat) adalah seorang yang sangat dihormati dalam dunia bola sepak, bagaimanapun, kenyataan tersebut benar-benar membuatkan kami para penyokong Kelantan terguris.

"Apa yang menimpa Kelantan sebelum ini terlalu pahit untuk kami terima namun itulah hakikatnya dan saya kira Terengganu dan T-Team berdepan nasib yang sama dan mereka tidak perlu merasakan bermain di stadium berkecuali sebagai suatu yang mustahil," ujarnya.

Rata-rata peminat Kelantan dan bola sepak Malaysia mahu FAM lebih serius dalam membuat keputusan dan tidak mahu peraturan yang sedia ada menjadi peraturan flip-flop.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah secara teknikalnya tidak mampu untuk menganjurkan perlawanan jadi keputusan yang dibuat perlu lebih tepat dan tiada kompromi.

Dari segi aspek keselamatan stadium tersebut jelas tidak mampu untuk memenuhi memandangkan pagar yang memisahkan antara penyokong dan padang juga telah dibuka.

Walaupun, orang kuat bola sepak Terengganu itu berjanji untuk meningkatkan tahap keselamatan dengan menambah bilangan anggota keselamatan tetapi keperluan terhadap pagar adalah jelas dan penting.

Ini disebut sendiri dalam Peraturan Pertandingan Liga M 2009 dalam perkara 3.12 berkaitan venue menyebut hanya stadium dan venue atau padang permainan terbuka yang 'berpagar' yang diperiksa dan diluluskan oleh JKPT dibenar untuk digunakan.

Secara tidak langsung istilah stadium yang digunakan adalah sudah tentu stadium yang dilengkapi pagar sebagai aspek keselamatan lain yang membolehkannya layak digelar stadium.

Bagi peminat Kelantan, mereka bukan berdendam tetapi cuma menuntut keadilan di sebalik ketegasan pengurusan FAM yang mahu membawa sinar baru dalam bola sepak Malaysia.

Aspek penilaian venue pertandingan amat dititkberatkan oleh FAM, maka tidak hairanlah Kelantan merupakan pasukan pertama yang menerima padah sebaik kempen Liga M 2009 bermula.

Perlawanan menentang KL Plus pada 3 Januari lalu menyaksikan Kelantan hilang tiga mata berharga apabila JKPT memutuskan Kelantan tidak serius dalam menyediakan padang yang sesuai untuk pertandingan.

Ketika itu seperti yang ramai maklum, negeri-negeri di Pantai Timur terutama di Kelantan sedang dilanda musim tengkujuh dan padang ditakungi air sehingga pihak pengurusan stadium gagal untuk menyediakan garisan untuk permainan.

Ekoran daripada itu, Kelantan kehilangan tiga mata berharga selepas diisytiharkan tewas dengan jaringan 3-0 sebelum keputusan tersebut ditarik balik Mei lalu.

Contoh berikutnya adalah insiden 7 April di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV dimana kejadian tersebut tiada kena mengena langsung dengan masalah kelonggaran aspek keselamatan stadium.

Insiden tersebut secara jelasnya berlaku di luar stadium dan sebaik perlawanan tamat tetapi Kafa dan pasukan Kelantan diarahkan menggunakan stadium berkecuali iaitu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Seluruh peminat Kelantan termasuk para pemain dan pengurusan terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan menyaksikan prestasi Kelantan jatuh mendadak akibat kepenatan.

Ini sebagai contoh ketegasan FAM terhadap semua pasukan dalam memastikan standard Liga Malaysia mencapai tahap profesionalisme jadi kita mengharapkan keputusan memberi hak terhadap Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah diteliti sehalus mungkin.

Kita tidak mahu FAM sebagai badan induk bola sepak negara dipandang serong akibat beberapa keputusan yang dibuat dianggap tidak konsisten dan bak kata pepatah 'ke hulu pun boleh, ke hilir pun boleh'.

Tiada ulasan: