11 Jun 2009

FAM : Perbicaraan petang ini (TSAM, Irfan Bakti, M'Zan M'Aris)


SELEPAS dibiarkan 'bebas' untuk beberapa ketika, petang ini tibalah giliran Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa(gambar) untuk dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Semuanya gara-gara kelantangan beliau mengkritik mutu pengadilan ketika perlawanan membabitkan Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu, 31 Mac lalu.

Walaupun sudah mengemukakan bukti termasuk rakaman video, badan induk kebangsaan itu berasakan ia tidak cukup kuat dan Annuar perlu dibicarakan walaupun cakap-cakap yang tidak enak sudah mula kedengaran lantaran FAM mengambil masa yang terlalu lama untuk memutuskan sama ada Annuar perlu dipanggil atau tidak.

Selain Annuar, ketua jurulatih skuad Perlis, Irfan Bakti Abu Salim(gambar) dan ketua jurulatih kelab KL Plus FC, Mat Zan Mat Aris(gambar) akan turut dipanggil untuk berdepan Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM, petang ini.

Irfan Bakti mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan FAM yang mengarahkan perlawanan di antara Kelantan dan Selangor diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 April dan beliau menganggap keputusan itu memberi kelebihan buat Selangor.

Keputusan perlawanan itu didakwa akan memberi kesan secara langsung buat Perlis yang ketika itu mendahului Liga Super dan beberapa pasukan lain yang turut mencabar gelaran musim ini, menerima tempiasnya.

Kenyataan itulah tidak disenangi FAM yang sudah beberapa kali mengheret jurulatih serta beberapa individu lain dan dikenakan tindakan termasuk gantung dan denda.

Mat Zan pula boleh dianggap lebih malang berbanding dua individu lain apabila tetap perlu berdepan Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM walaupun beliau bercakap mengenai perasaannya selaku jurulatih selepas tiga mata yang dihadiahkan kepada KL Plus FC oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, ditarik balik selepas tiga bulan penganugerahan itu.

Petang ini, ketiga-tiganya menghadapi pertuduhan yang serupa iaitu mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa kebenaran daripada FAM selaku badan induk kebangsaan bagi bola sepak di negara ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga individu terbabit akan berdepan dengan Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM di Wisma FAM, jam 2.30 petang ini.

“Kita sudah hantar surat kepada mereka untuk memaklumkan perbicaraan itu,” katanya.

- Ihsan HMetro

Tiada ulasan: