21 Mei 2009

Kafa tak sanggup tanggung kerugian



Itu dilema Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak digantung beraksi di tempat sendiri Stadium Sultan Mohammad Ke-IV bermula 9 April lalu.

Tiada persatuan yang mahu kantung mereka kering kerana ia akan membunuh bola sepak itu sendiri selain menjejaskan 'periuk nasi' pemain.

Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membayar gaji pemain sekiranya sesebuah persatuan itu tidak mampu membayar gaji mereka?

Skuad bola sepak Kelantan memang tenat ketika ini.

Pendapatan mereka di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV disekat oleh FAM dan akibatnya Kafa terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan.

Kelantan masih ada baki 11 perlawanan Liga Super dan Kafa mendapati mereka akan terus menanggung kerugian berjumlah RM330,000 sekiranya meneruskan saingan sehingga ke penghujung musim.

Menyedari masalah yang dilihat agak tenat itu, Kafa terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu daripada dua opsyen yang mereka rancangkan.

Opsyen pertama, Kelantan akan terus beraksi dalam baki saingan Liga Super musim ini dengan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri tetapi terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan.

Opsyen kedua, Kelantan akan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi mengekalkan pasukan sedia ada untuk mengadakan perlawanan amal mencari dana kewangan bagi membolehkan mereka kembali beraksi pada saingan Piala Malaysia, Oktober depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri membuat pendedahan tersebut pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Nasional malam kelmarin yang menyaksikan Kelantan kalah buat kali keempat berturut-turut, kali ini tewas 1-2 kepada Perlis.

Menurut Annuar, selepas hampir dua bulan menyembunyikan masalah kepada pihak media, dia akhirnya terpaksa meluahkannya juga untuk memastikan orang ramai mengetahui situasi sebenar yang dihadapi pasukan Kelantan ketika ini.

"Kita telah menjalankan kajian menyeluruh. Kita hanya dapat sekitar 5,000 penonton saja pada setiap kali beraksi di Stadium Nasional. Ini bermakna pada setiap perlawanan, kita kerugian RM30,000 termasuklah kos sewa stadium, bas, hotel, makan dan sebagainya.

"Selepas dibuat kira-kira, kantung Kafa akan mengalami defisit RM400,000 pada penghujung musim nanti. Kafa satu-satunya pasukan negeri yang bergantung penuh kepada kutipan tiket," katanya.

KEPUTUSAN sama ada Kelantan akan terus beraksi pada baki saingan
Liga Super akan ditentukan pada 27 Mei ini.


Justeru, Annuar berkata, langkah yang dilihat lebih selamat untuk mengelakkan Kafa terus mengalami kerugian adalah dengan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi dengan cara baik.

"Kita akan buat permohonan tarik diri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sebelum ini kita dah buat rayuan tetapi tidak mendapat simpati mana-mana pihak malah rayuan kami telah pun ditolak FAM.

"Jika kita tarik diri, dalam dua hingga tiga bulan yang ada ini saya akan gunakan untuk merayu kerajaan negeri, individu atau syarikat swasta untuk menaja dari segi kewangan supaya kita dapat kembali beraksi dalam Piala Malaysia," jelasnya.

Annuar berkata, keputusan sama ada Kafa akan memilih opsyen pertama atau opsyen kedua itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Ahli Majlis Kafa pada 27 Mei ini.

Sementara itu, Annuar memberitahu, semua pihak termasuk Ketua Polis Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan persatuan penyokong Kelantan memberi jaminan insiden keganasan penonton pada 7 April lalu tidak akan berulang lagi jika FAM bermurah hati membenarkan semula Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV dalam masa terdekat ini.

"Semua pihak sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanggungjawab memastikan perlawanan diadakan dengan lancar di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

"Lagipun Kelantan merupakan satu-satunya pasukan di dunia yang tidak dibenarkan beraksi di stadium sendiri. Jika ada pun, pasukan lain yang dihukum tetap diberikan beraksi di stadium sendiri tetapi tanpa dihadiri penonton," ujar Annuar. -Ihsan Kosmo

Tiada ulasan: