27 Apr 2009

The Red Warriors melancong ke Old Trafford

KEPULANGAN pemain Kelantan dari perlawanan akhir Piala FA disambut penyokong setia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, semalam.

DI SEBALIK gagal membawa pulang Piala FA, skuad Kelantan tetap ceria apabila mendapat ganjaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang bakal membawa mereka ke Old Trafford, gelanggang keramat kelab gergasi Inggeris, Manchester United. 


Pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata ganjaran ke Old Trafford diberi kepada pemain kerana Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sudah berjanji memenuhinya jika mereka mara ke perlawanan akhir itu. 

"Sebenarnya, sebaik mara ke perlawanan akhir, pemain Kelantan sudah meraih ganjaran ke Old Trafford dan mereka dijangka ke sana Ogos depan. Selain itu, pemain juga akan menerima bonus penghargaan," katanya ketika mengetuai kepulangan pasukan Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, petang semalam.

 

Meskipun tewas, namun kepulangan pemain The Red Warriors tetap diraikan oleh penyokong fanatik mereka apabila disambut lebih 50 orang yang mengambil peluang bersalaman dengan mereka sebaik keluar dari balai ketibaan kira-kira jam 5.30 petang. 

Seluruh pasukan Kelantan jelas kecewa gagal membawa pulang Piala FA untuk memenuhi impian menggunung rakyat negeri ini terutama ribuan penyokong yang sanggup membanjiri Stadium Nasional, Bukti Jalil, malam kelmarin untuk memberi sokongan. 

"Kami berterima kasih kepada penyokong dan melahirkan rasa kecewa kepada mereka kerana gagal memenuhi harapan dengan membawa pulang Piala FA itu.

"Namun begitu, Kelantan sudah mencapai sasarannya dan selepas ini kami akan menumpukan kepada Liga Super dan Piala Malaysia pula. Pemain akan berehat selama tiga hari, sebelum menyambung semula latihan Selasa ini," katanya. 

Bharian

 

Tiada ulasan: