22 Apr 2009

Liverpool kembali ke puncak liga walaupun terikat 4-4 dengan Arsenal

Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas satu lagi perlawanan memukaukan di Anfield menentang Arsenal tetapi empat gol Andriy Arshavin menjejaskan peluang mereka untuk bergelar juara. 

 Rafael Benitez pastinya akan memuji semangat Liverpool seperti selepas perlawanan Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge minggu lalu tetapi kelemahan pertahanan menenggelamkan kehebatan barisan serangan. 

 Satu mata yang diperoleh Liverpool meletakkan ia di atas Manchester United kerana perbezaan gol tetapi juara bertahan itu memiliki kelebihan dua perlawanan.

 Penjaga gol Arsenal, Lukasz Fabiansk, menjadi penghalang kepada Liverpool untuk berpesta gol pada separuh masa pertama tetapi mula menunjukkan retak selepas waktu rehat. 

Arshavin menjadi penyelamat kepada pasukan kendalian Arsene Wenger yang berterusan diasak Liverpool apabila mencuri gol setiap kali diberi peluang akibat kesilapan pertahanan lawan. 

Pemain
Russia itu meletakkan Arsenal di depan hasil hantaran silang Cesc Fabregas sembilan minit sebelum rehat tetapi Fernando Torres dan Yossi Benayoun membalas jaringan di awal sambungan permainan.

 Namun, ketika Liverpool cuba menambah derita Arsenal, Arshavin menjaringkan dua lagi gol dalam tempoh tiga minit di pertengahan separuh masa kedua untuk meletak Arsenal kembali di depan. 

Beliau mengambil kesempatan daripada kelalaian Alvaro Arbeloa untuk meledakkan bola melepasi penjaga gol Liverpool, Pepe Reina, sebelum menyumbat dari jarak dekat hasil kesilapan Fabio Aurelio. 

Dalam suasana genting di Anfield, Torres menemui gawang tidak lama kemudian untuk
Liverpool kembali terikat dengan Arsenal. 

Namun, Arshavin sekali lagi menghukum kesilapan pertahanan
Liverpool dengan serangan balas bersama pemain gantian, Theo Walcott, selepas bertahan sepakan sudut lawan.

Benayoun menjadi wira Liverpool apabila menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan untuk mencuri satu mata berharga. - Agensi

Tiada ulasan: