28 Apr 2009

Kelantan Kini Beralih Tumpuan

Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my

ANNUAR (kanan) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Old Trafford sebagai ganjaran muncul naib juara Piala FA kepada pemain Red Warriors, semalam.

Buru trofi Liga Super dan Piala Malaysia untuk akhiri penantian 88 tahun


SELEPAS tewas dalam final Piala FA Sabtu lalu, Kelantan kini mengalih tumpuan untuk memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia, sekali gus mengakhiri penantian 88 tahun tanpa sebarang gelaran utama sejak liga tempatan diperkenalkan pada 1921.

Misi membawa pulang dua kejuaraan berprestij itu ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, yang mahu pemain segera menjadikan kekalahan perit kepada Selangor pada Sabtu lalu, sebagai pembakar semangat agar lebih membara selepas ini.

"Saingan Liga Malaysia baru memasuki pertengahan musim, di hadapan masih ada lagi dua piala yang lebih berprestij daripada Piala FA. Perjalanan Liga Super masih panjang dan kami kini pada kedudukan terbaik, walaupun menduduki tangga ketiga tetapi berkelebihan satu perlawanan.

"Selepas itu, kami akan memberi tumpuan terhadap Piala Malaysia dan saya yakin kami mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan," katanya pada majlis penyampaian tiket penerbangan ke Old Trafford kepada pemain Red Warriors di Kota Bharu, semalam.

Kunjungan ke gelanggang kelab Manchester United itu adalah hadiah daripada Kafa kepada pemain berikutan kejayaan melakar sejarah mara ke final Piala FA iaitu aksi pertama Kelantan di perlawanan akhir liga utama tempatan sejak 39 tahun lalu.

Dalam kunjungan yang dijadualkan dari 12 hingga 24 Ogos itu, pemain juga akan berkunjung ke Liverpool dan London, selain dijangka mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan dua kelab tempatan, selain menentang pasukan anak Malaysia di England.
Difahamkan, kejayaan mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala FA, membolehkan pemain dan pegawai pasukan Kelantan menerima agihan habuan keseluruhan berjumlah RM200,000 termasuk bonus kemenangan, daripada perlawanan pusingan pertama hingga aksi menentang Selangor.

Annuar yang akan berlepas ke London atas urusan kerja selepas ini, turut mengingatkan pemain supaya menjadikan aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan di Seremban, Sabtu ini sebagai titik tolak kebangkitan Kelantan dalam usaha memburu mahkota kejuaraan liga.

"Saya berharap pemain akan terus menunjukkan komitmen yang tinggi, walaupun bakal turun tanpa Indra Putra Mahayuddin, yang tidak dapat bermain kerana menerima tiga kad kuning," katanya.

Annuar berkata, tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan lebih 40,000 penyokong Red Warriors dalam final Sabtu lalu, akan dijadikan asas rayuan Kafa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar pasukan itu dibenarkan kembali beraksi semula di Stadium Sultan Muhammed IV.

"Kafa akan mengemukakan rayuan kepada FAM agar dapat beraksi di Kota Bharu mulai Jun nanti dan kami sedang mengatur aksi persahabatan termasuk menentang pasukan bawah 23 tahun Brazil dan Selangor ketika liga berehat dua minggu awal Jun nanti, bagi membuktikan Stadium Sultan Muhammed IV selamat digunakan," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Tiada ulasan: