16 Apr 2009

16 ditahan bantu siasatan kes rusuhan bola sepak

Tujuh lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di stadium Sultan Muhammad Ke-IV selepas Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA, pada 7 April lepas.

Ketua Polis Kelantan SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata ini menjadikan kesemuanya 16 orang, termasuk seorang guru dan beberapa pelajar, yang ditahan bagi membantu siasatan.

Kesemua lelaki yang ditahan itu berusia antara 15 dan 32 tahun, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata polis akan meneruskan siasatan dan dijangka beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

Kejadian rusuhan itu mengakibatkan sebuah kenderaan polis dibakar manakala beberapa kenderaan musnah, termasuk kereta milik Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Selain itu, seorang pelajar cedera mata kanan dipercayai terkena objek keras melayang dikatakan bom pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan dalam usaha meleraikan kejadian itu. 

Bernama

Tiada ulasan: