8 Okt 2009

Wira Merah merendah diri


INDRA (kanan) bersaing dengan pemain pertahanan Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.


KOTA BHARU - Muncul sebagai pasukan terawal menempah tiket ke suku akhir dengan rekod tanpa kalah, ia mungkin menggembirakan penyokong skuad Kijang tetapi ia kelihatan masih meresahkan B. Sathianathan.

Pasukan bimbingannya menang tipis 2-1 ketika menentang Pulau Pinang, kelmarin ketika banyak lagi peluang terhidang untuk menambahkan jaringan kerana kurangnya persefahaman di barisan penyerang.

Keadaan juga memaksa ketua pasukan, Indra Putera Mahayuddin berperanan di kebanyakan sudut, sekali gus menjejaskan tumpuannya manakala Khalid Jamlus yang turut disandarkan harap telah bertungkus lumus, namun seolah-olah berhadapan masalah stamina.

Ternyata skuad Kelantan bernasib baik diperkukuhkan oleh dua pemain yang dipinjam daripada Felda United, Mohd. Nazarul Irwan dan Norhisham Hassan (T. Team).

Menyorot rentetan perlawanan kelmarin dan sebelum ini, skuad Kijang masih tercari-cari rentak permainan sendiri, malah terikut-ikut dengan persembahan pasukan lawan sehingga hampir mengundang padah.

Dengan formasi yang sering tidak menjadi, hantaran jauh yang tidak kemas, pertahanan yang goyah, tidak sukar bagi pasukan ini untuk ditewaskan oleh saingan di peringkat suku akhir.

Kelmarin, pengalaman Khalid Jamlus serta Indra Putra Mahyuddin memberikan kelebihan dengan gol kemenangan berjaya di peroleh pada minit ke-42 dan 80 sekali gus mematikan semangat Harimau Kumbang untuk bangkit.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menyifatkan anak buahnya belum mencapai prestasi kemuncak dan berharap segala kelemahan dapat diperbaiki segera.

"Malam ini (kelmarin) pemain saya beraksi dalam keadaan tertekan untuk mengutip tiga mata di depan penyokong sendiri bagi memastikan tempat ke suku akhir, sepatutnya mereka boleh bermain dengan lebih baik.

"Saya berharap dalam dua baki perlawanan lagi, mereka menunjukkan peningkatan," ujarnya.

Sathianathan turut memuji semangat juang barisanpenyerang skuadnya, Khalid, Indra Putra dan Che Hishammudin Hasan yang berada di kelas tersendiri untuk memastikan tiga mata penuh berjaya dikutip.

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB & LUQMAN HAKIM AB. RAHIM


Tiada ulasan: