Kedudukan Kelantan untuk melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia sudah selamat.
Namun, mereka tetap memandang serius aksi menentang Kedah malam ini.
Apa yang pasti, Kelantan tidak mahu menjadikan perlawanan menentang sang Kenari itu sekadar pelengkap jadual, sebaliknya untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam Kumpulan E.
Rekod pertemuan di Stadium Darulaman, Alor Setar sebelum ini berpihak kepada Kelantan apabila skuad Hijau Kuning itu tumpas 1-2 dalam perlawanan Liga Super, April lalu.
Selepas empat kemenangan dalam kempen Piala Malaysia sebelum ini, ternyata pemain serta seluruh peminat Kelantan terus dahagakan kemenangan dan tiga mata pastinya tidak akan diserahkan kepada Kedah dengan mudah.
Turun tanpa lima tonggak utama, Halim Napi, Farisham Ismail, Khalid Jamlus, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad yang cedera dan direhatkan, Kelantan bakal menampilkan muka baru yang tidak kurang sengatnya.
Daripada senarai 29 pemain yang ada, pengendali Kelantan, B. Sathianathan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menyenaraikan barisan terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim percaya, ini adalah masa yang sesuai untuk pemain-pemain muda dan simpanan turun membuktikan kehebatan.
Jelasnya, barisan kedua Kelantan yang ada kini seharusnya tidak dipandang mudah oleh mana-mana pasukan kerana reputasi mereka juga sangat baik.
"Semua pemain kita adalah yang terbaik cuma sebelum ini mereka kurang diberi peluang dan kali ini adalah 'hadiah' untuk mereka terutama turun menentang pasukan hebat seperti Kedah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan