Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD (hafiz.ahmad@utusan.com.my)
Gergasi Merah membuktikan reputasinya selaku juara Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super musim ini bukan calang-calang boleh digugat sesiapa biarpun nyaris dicalar KM Naza yang mendahului dua gol sebelum tumpas 3-2 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.
Anak buah K. Devan ini bangkit dengan meyakinkan, berani dan bertenaga untuk mengakhiri pusingan ini dengan mata maksimum ketika KM Naza yang baru menemui rentak kemenangan ke atas Sabah sebelumnya, tersungkur gara-gara kerapuhan bentengnya.
Langkah Negeri Sembilan lebih panjang, malah mantap dalam Kumpulan B apabila menakluki dua gelanggang lawan - Johor Bahru dan Kuala Terengganu, kelmarin malah unggul selaku pasukan penjaring gol terbesar dan paling kurang dibolosi dalam pusingan pertama ini.
Membelasah Sarawak 8-0 di Seremban, minggu lalu untuk melahirkan pencatat hatrik pertama musim ini, Zaquan Adha Radzak dan penjaga gol kental, Farizal Harun, pasti melegakan jurulatih negara, K. Rajagobal dalam membuat pemilihan skuad bawah 23 tahun ke Sukan SEA Laos, Disember ini.
Begitu juga Kelantan. Dengan sentuhan berpengalaman antarabangsa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, kemaraan Wira Merah seakan sukar disekat lagi sama ada di kubu keramat mereka, Stadium Sultan Muhammed IV mahupun apabila mengunjungi Pulau Pinang dan Selayang.
Juara bertahan Kedah sudah pun tersungkur di Kota Bharu manakala Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia ternyata bukan masalah besar bagi 'Badri Radzi dan Kompeni' untuk menembusi kedua-dua kubu lawan biarpun cuma menang dengan kelebihan satu gol, 2-1. -utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan