DENDA dan penggantungan - itulah risiko dihadapi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas penyokong skuad Penyu itu menimbulkan kekecohan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang bagaimanapun berkata badan induk kebangsaan itu masih belum menerima laporan rasmi daripada semua pihak yang terbabit dengan insiden berkenaan.
“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang laporan berhubung insiden yang berlaku di Kuala Terengganu itu. Tidak adil kalau saya membuat kenyataan tanpa meneliti laporan rasmi yang bakal dikemukakan.
“Cuma, berdasarkan peraturan sedia ada, pihak tuan rumah boleh dikenakan denda dan juga penggantungan jika didapati bersalah kerana gagal mengawal penyokong hingga menimbulkan kekecohan,” kata Azzuddin.
Sabtu lalu, penyokong setia skuad Terengganu tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan, Mohd Rahmat Jantan dan bertindak memasuki padang serta berkumpul di luar stadium untuk meluahkan protes masing-masing.
Pada perlawanan berkenaan, Terengganu tewas 0-1 di tangan Negeri Sembilan hasil jaringan penalti yang disempurnakan penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha pada minit ke-27.
Penyokong tuan rumah turut membaling mercun ke tengah padang sambil meluahkan kata-kata protes terhadap pengadil.
Pegawai serta anggota Unit Pencegah Rusuhan terpaksa bekerja keras memastikan keselamatan semua pemain dan pegawai perlawanan terutamanya Mohd Rahmat yang terpaksa diiring ketika meninggalkan stadium.
Insiden itu adalah yang kedua musim ini selepas kekecohan yang dicetus penyokong Kelantan ketika menentang Negeri Sembilan pada saingan Liga Super. -hmetro
p/s : lawan N9 jugok......?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan