30 Apr 2009

FAM belum terima surat


LAUTAN MERAH...penyokong Kelantan memenuhi tempat duduk Stadium Nasional yang menjadi 'gelanggang sendiri' Red Warriors sejak perlawanan dialih ke situ.

KESUNGGUHAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengemukakan rayuan terhadap hukuman larangan penggunaan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai gelanggang aksi Liga Malaysia sepanjang musim ini belum nampak bayangnya.

Hanya cakap mulut saja dibuat skuad The Red Warriors namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu surat rayuan yang sepatutnya sudah berada atas meja Jawatankuasa Rayuan selepas 14 hari dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Tapi, atas pertimbangan FAM, pintu buat The Red Warriors mengemukakan rayuan masih terbuka bagi membincangkan hukuman dikenakan ke atas kelab itu.

“Dalam kes ini, Kafa berhak mengemukakan rayuan tapi saya belum menerima surat rayuan walaupun mereka ada mengemukakan cadangan untuk berbuat demikian.

“Kafa adalah ahli gabungan FAM dan tiap-tiap ahli gabungan yang dikenakan tatatertib boleh mengemukakan rayuan walaupun ada beberapa perkara berkaitan tatatertib tidak boleh dirayu.

“Tapi kes Kafa ialah kes berkaitan venue pertandingan. Jadi, secara amnya mereka berhak membuat rayuan. Kami masih menunggu bentuk rayuan bakal dikemukakan kepada FAM,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Dua minggu lalu, Kafa dihadapkan ke Lembaga Disiplin FAM yang mengenakan mereka dengan dua pertuduhan utama pada dua insiden berasingan tetapi menentang lawan yang sama iaitu Negeri Sembilan. Ia membabitkan pertemuan Liga Super pada 31 Mac dan separuh akhir pertama Piala FA seminggu selepas itu.

Kedua-dua insiden itu menyaksikan FAM mengharamkan venue keramat itu menganjurkan apa saja pertandingan Liga-M.

Selain hukuman yang dilihat bakal menghadirkan masalah besar buat Kafa, mereka turut dikenakan denda hampir RM100,000 selepas didapati bersalah kerana gagal mendisiplinkan penyokong di stadium berkenaan.

“Kalau mereka (Kafa) mengemukakan rayuan ini kepada saya, saya akan kemukakan kepada JKPT (Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) untuk membuat penilaian terlebih dulu sebelum dibentang kepada jawatankuasa rayuan.

“Kafa perlu mengemukakannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijatuhi hukuman. Kalau kami diberi isyarat untuk mereka merayu, kami akan mempertimbangkannya kerana venue adalah di bawah kuasa JKPT,” katanya.

Berkenaan tarikh akhir rayuan denda berjumlah hampir RM100,000, Azzuddin menjelas: “Tarikh akhir untuk Kafa menjelaskan denda berkenaan ialah pada minggu pertama bulan Mei. Kita sudah mengeluarkan surat kepada Kafa berhubung perkara itu dan kita yakin mereka pasti tidak lupa menjelaskannya.”

Silap bagi penalti

LONDON: Pengadil, Howard Webb mengakui melakukan kesilapan menghadiahkan sepakan penalti kepada Manchester United sewaktu perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford, Sabtu lalu.

Pasukan pelawat mendahului 2-0 ketika Webb menyatakan penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes mengasari Michael Carrick selepas permainan berlangsung selama 57 minit apabila rakaman ulang tayang televisyen menunjukkan dia menampan bola keluar untuk menyelamatkan keadaan sebelum bertembung dengan pemain tengah itu.

Cristiano Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti itu untuk kembali meletakkan United bersaing dalam perlawanan itu yang menyaksikan mereka akhirnya menang 5-2 untuk kembali melonjak ke tangga teratas liga.

Webb memberitahu: “Saya menyaksikannya semula dan saya rasa ia kesilapan tetapi kami membuat keputusan seperti itu dengan jujur.

“Ia bukan satu perkara senang dengan aksi seperti itu melalui pandangan ketika berada di atas padang.” Bercakap kepada BBC Radio Cambridgeshire, Webb berkata: “Saya dapat melihat pemain Manchester United menyentuh bola dan melihatnya dipaut oleh penjaga gol tetapi tidak dapat melihat lencongan jari penjaga gol menyentuh bola itu.

"Saya kecewa kerana saya sentiasa cuba mencari kesempurnaan. Saya akan melihat pita dengan lebih lanjut pada penghujung minggu selepas ini dan cuba mengelak daripada kembali berlaku pada masa depan.

“Saya tidak mahu mempunyai kesan negatif terhadap perlawanan dan saya tidak mendapat kepuasan daripada mencapai tahap tinggi yang kami letakkan terhadap diri kami sendiri.”

Pemain tengah Spurs, Jermaine Jenas mengkritik keputusan itu dengan mengatakan Webb “goyah di bawah tekanan” dan pemain itu kini akan berdepan tindakan disiplin daripada Persatuan Bola Sepak (FA) terhadap komen diberikannya.

FA memberikannya tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan kenyataan dibuatnya selepas dipetik sebagai berkata: “Suasana, keadaan, kepentingan perlawanan itu, banyak faktor perlu diambil kira apabila keputusan dibuat”. - Reuters

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah

O'shea meraikan gol kemenangan Manchester United

Separuh Akhir Pertama: 

 Manchester United 1 (O'Shea 17) Arsenal 0


29 Apr 2009

Isu Kafa: Terserah kepada FAM

"KITA serahkan kepada budi bicara FAM".

Itu komen ringkas daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang menimpa Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ekoran penggantungan daripada beraksi di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, laporMUSTAPA LAKAWA.

Kelmarin, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menimbang semula penggantungan itu kerana ia akan menyebabkan persatuan bukan sahaja terpaksa menanggung denda daripada FAM, malah kerugian dari segi kos pengurusan dan pengangkutan.

Menurut Annuar, rusuhan yang berlaku pada 7 April lalu bukanlah kesalahan Kafa kerana kejadian tersebut berlaku di luar stadium.

Begitupun, Shabery yang turut bersimpati dengan nasib Kafa menjelaskan bahawa segala keputusan mengenai isu itu terletak di tangan FAM.

"Buat masa ini, saya tidak mahu mencampuri keputusan FAM kerana ia melibatkan dasar persatuan. Kita serahkan kepada budi bicara persatuan itu.

"Saya juga sedar akan permasalahan yang dihadapi Kafa ekoran daripada tindakan tersebut.

"Namun, kalau boleh, kita tidak mahu insiden ini (penggantungan) menemui jalan buntu dan akhirnya menyebabkan bola sepak kehilangan penyokong," jelas Shabery ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Pada insiden 7 April lalu, arena bola sepak negara tercemar apabila penonton Kelantan bertindak merusuh dengan merosakkan kenderaan termasuk dua buah kenderaan dibakar di pekarangan stadium berkenaan.

Akibat daripada insiden itu, pasukan Kelantan yang turut dikenali dengan gelaran Red Warriors tidak dibenarkan bermain di gelanggang sendiri.

Hukuman penggantungan itu sekali gus menyebabkan Kafa kerugian ribuan ringgit kerana terpaksa menanggung kos pengurusan dan pengangkutan pemain setelah pasukan tersebut terpaksa bermain di luar Kelantan.

Keputusan Liga Juara-Juara Eropah (1st leg)

Daniel Alves (kiri) membentes Florent Malouda (uefa.com)



Barcelona 0 - 0 Chelsea ----> *Next leg - 06.05.09

28 Apr 2009

Mohd. Shah Rizan Mengkagumkan.

Komen dari Meli kapakjangak

SEJAK bersara dari dunia kewartawanan (berhenti bertugas dengan akhbar harian dan juga berhento membantu jurukamera TV3 Kelantan menyediakan skrip) saya tidak pernah ke stadium menyaksikan perlawanan bolasepak.


Kebetulan saya tidak meminati bidang sukan. Kehadiran saya pada perlawanan/acara sukan, termasuk sukan bolasepak ketika masih dalam dunia kewartawanan adalah semata-mata kerana tuntutan tugas. Saya juga tidak menyaksikan acara sukan di tv, kecuali gusti.

Bagaimanapun untuk perlawanan akhir Kejohanan Bolasepak Piala FA yang melibatkan Kelantan vs Selangor saya menontoninya dari awal hingga akhir.

Dua orang menantu saya turut ke Stadium Bukit Jalil dari Kota Bharu bagi memberi sokongan kepada Kelantan, menjadikan timbul persoalan dalam kepala saya apa istimewa dan menariknya perlawanan itu, sekali gus menarik kecenderungan saya untuk menontonnya.

Oleh kerana Kelantan tidak pernah berpeluang mara ke perlawanan akhir dan inilah kali pertama Gomo Kelantan Gomo berpeluang beraksi pada perlawanan merebut piala FA sejak menyertai kejohanan dalam tempoh 39 tahun, nampak sangat betapa selain dari penyokong taksub, banyak pihak tidak mengharapkan Kelantan menang.

Ulasan pengulas tv yang menyiarkan secara langsung perlawanan yang telah menarik kira-kira 80,000 penonton/penyokong bagi kedua-dua pasukan bertanding itu telah bias kepada Selangor dengan cuba menarik perhatian penonton bahawa Selangorlah yang paling layak menang.

Pengadil sendiri pada saya lebih bias kepada Selangor sehinggakan Kelantan dilayankan empat kad kuning kepada empat pemain, manakala tidak ada seorang pun pemain Selangor yang diberikan kad kuning walaupun ada yang melakukan kekasaran terhadap pemain Kelantan sama sebagaimana yang dilakukan oleh pemain Kelantan yang dilayankan kad kuning.

Kerana itulah bila Kelantan mendahului Selangor satu gol, nada ulasan pengulasan mencerminkan betapa tidak seronok, terkejut beruk dan tidak sangkanya sang pengulas yang sepatutnya mengulas secara berkecuali, profesional, tulus dan telus.

Bila Selangor berjaya menyamakan kedudukan, seronoknya sang pengulas sampai boleh ketawa. Nampak sangat betapa bimbangnya sang pengulas kalau-kalau Piala FA dibawa pulang ke Kelantan, seolah-olah tangan orang Kelantan terlalu kotor untuk menjulang Piala FA.

Bagaimanapun tahniah kepada kesebelasan pemain Kelantan kerana dalam diberi tekanan dengan kes rusuhan (termasuk tragedi membakar kenderaan polis di Kota Bharu tidak lama dulu) pun, mereka masih mampu membawa perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya berlanjutan kepada tendangan penalti.

Selangor bukan menang kerana mereka lebih hebat tetapi kerana nasib mereka baik apabila tendangan penalti dua penendang penalti Kelantan gagal menghasilkan gol kerana menang itulah yang telah disurat dan ditakdirkan dan ianya tidak perlu dipertikai, dirintih atau pun diratapi.

Saya nampak pemain Kelantan bermain dalam keadaan bukan corak dan resam sebenar yang lazimnya agresif dan mendebarkan penonton dengan aksi-aksi yang orang Kelantan kata 'berasap padang'. Semangat Dali Omar dan rakan seangkatan atau setidak-tidaknya semangat Hashim Mustapha, Salim Mahmood dan rakan-rakan seangkatan langsung tidak menyerlah.

Pemain Kelantan bermain dalam keadaan yang sangat santun,menjadikan perlawanan akhir Piala FA tahun ini sangat hambar, malah membosankan.

Mungkin mereka mengurangkan kemungkinan terdedah kepada risiko kesan dari tindakan mereka yang kena coolkan penyokong setelah gara-gara tragedi merusuh, pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) didenda dengan jumlah denda yang boleh membankrapkan persatuan itu.

Perlawanan-perlawanan yang melibatkan Kelantan selaku tuan rumah terpaksa diadakan di stadium berkecuali, menjadikan peminat Kelantan terpaksa berbelanja besar untuk saksikan perlawanan Kelantan. Kerana faktor itulah saya kira pemain Kelantan bermain dalam keadaan yang sangat santun, malah lebih menampakkan sedikit bacul.

Seandainya Kelantan mempersembahkan corak permainan berteraskan Kelantanisme sebagainmana yang dipersembahkan pada era Dali Omar dan rakan-rakan atau Hashim Mustapha dan rakan-rakan pada perlawanan akhir Piala FA musim ini, bagi saya Kelantan mampu menang dengan bilangan gol yang banyak.

Tetapi kerana terlalu berhati-hati supaya tragedi merusuh yang sebenarnya punca sebenar tidak dihighlightkan, sebaliknya ditonjolkan kononnya ia berlaku kerana tidak berpuashati ekoran ke kalahan Kelantan kepada Negeri Sembilan yang membawa rusuhan, menghantui pemain Kelantan.

Perlawanan Kelantan vs Selangor di Stadium Bukit Jalil bukan wajah dan gaya sebenar pemain Kelantan sepanjang pengalaman saya membuat liputan perlawanan Kelantan semasa saya masih bertugas sebagai wartawan akhbar harian dulu.

Saya secara peribadi amat kagum dengan bakti penjaga gol Mohd. Shah Rizal yang menunjukkan kegemilangan, kecermerlangan dan keterbilangan apabila banyak menyelamatkan bola dari menerobos gol yang dikawalnya yang saya yakin tidak akan mampu dilakukan oleh penjaga gol Selangor kalau berada dalam keadaan Mohd. Shahrul Rizal.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa kena memastikan Mohd. Shahrul Rizal dan pemain lincah berusia 18 tahun (saya lupa namanya) kena terus menjadi milik Kelantan pada musim-musim akan datang. Kedua-duanya mempunyai kualiti permainan yang sangat unggul.

Inderaputera bukan tidak ada keupayaan tetapi kerana tersenarai sebagai pemain berjiho dan digeruni lawan, maka pergerakannya dikawal ketat dan menjadikannya sukar bergerak.

Oleh itu peranan pemain seperti pemain berumur 18 tahun yang tidak berapa timbul namanya adalah sangat penting untuk membuat ancaman terhadap pertahanan lawan, malah adalah lebih baik seandainya keistimewaan skill setiap pemain tidak dipublisitikan sebagai sebahagian dari strategi.

Macam mana pun tahniah kepada semua pemain, pegawai dan pasukan Kelantan kerana mampu membuktikan bahawa jika tidak sengaja menjolok sarang tebuang, tanpa provokasi lawan, Kelantan mampu menjadi pemain, pegawai dan penyokong yang santun!

credit to: melikapakjangak

Gambar majlis penyampaian bonus kepada pemain Kelantan

Tan Sri Annuar Musa sedang memberikan ucapan semangat kepada pemain-pemain Kelantan bagi mengharungi baki liga super dan piala Malaysia





Durian runtuh untuk pemain Kelantan

PARA pemain Kelantan gembira selepas menerima pakej melancong sambil belajar selama 13 hari ke Liverpool dan Manchester, wang saku serta bonus di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Biarpun kalah, namun pemain Kelantan tetap mendapat durian runtuh apabila pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan sebanyak RM200,000 sebagai ganjaran kepada mereka kerana mencipta sejarah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.

Ganjaran tersebut meliputi 'pakej melancong sambil belajar' selama 13 hari ke London, Liverpool dan Manchester, England, wang saku dan bonus.

Ia juga sebagai suntikan semangat untuk memastikan pemain menamatkan kemarau kejuaraan selama 39 tahun yang kali terakhir Kelantan memenangi kejohanan berprestij pada tahun 1921 ketika Piala HMS Malaya diperkenalkan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, habuan itu diberikan kerana para pemain serta pegawai persatuan tersebut telah berjaya mentransformasikan bola sepak Kelantan Sabtu lalu.

Katanya, skuad Kijang masih berpeluang untuk menebus kemarau tersebut dengan merangkul dua lagi kejohanan berprestij negara, Liga Super dan Piala Malaysia.

"Saya berharap para pemain akan meneruskan rentak cemerlang ini bagi memastikan kita dapat memberikan hadiah yang cukup bernilai kepada para penyokong setia negeri ini.

"Urusan untuk ke London telah selesai, seramai 40 pegawai dan pemain serta 30 penyokong setia akan berangkat ke sana 12 Ogos ini.

"Di sana, kita bukan hanya pergi melancong kerana kita telah mengaturkan dua perlawanan persahabatan dengan kelab tempatan di Leeds dan Liverpool serta mungkin bersama pasukan rakyat Malaysia yang tinggal di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika majlis penyerahan bonus kepada para pemain di Restoran Cikgu Nasi Ulam di sini semalam.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar membenarkan pasukan tersebut beraksi di gelanggang sendiri pada Jun ini .

"Kita telah lampirkan bersama hasil kajian tentang kesan yang akan dihadapi Kelantan jika beraksi di gelanggang luar dan berharap FAM membenarkan kita beraksi di gelanggang sendiri selepas ini.

"Beraksi di gelanggang luar amat berat bagi kita walaupun ada kelebihannya yang tersendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, KAFA turut meminta Perbadanan Stadium Sultan Muhammed IV supaya menaik taraf stadium tersebut mengikut standard FIFA.

"Saya dimaklumkan kerajaan negeri telah bersetuju dengan permintaan ini dan kerja-kerja untuk menaik taraf stadium akan dilakukan dalam tempoh sebulan," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia pasukan terbabit yang sentiasa memberikan sokongan.

Skuad Kijang makin mewah

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN daripada pemain Kelantan bersorak kegembiraan selepas mendapat bonus dan tajaan ke Old Trafford di Kota Bharu semalam.


DURIAN runtuh lagi untuk skuad Kijang.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memperuntukkan RM200,000 untuk tujuan pemberian bonus kepada pemain beserta pegawainya yang berjaya melakar sejarah melangkah ke perlawanan akhir Piala FA pada 25 April lalu.

Ganjaran itu termasuklah perbelanjaan duit poket untuk pemain yang akan dibawa berkunjung ke Old Trafford selama 13 hari pada 12 hingga 24 Ogos nanti.

Seramai 40 orang pemain dan pegawai serta 30 penyokong akan dibawa dalam siri lawatan itu yang turut melibatkan kunjungan ke Leeds dan Liverpool.

Namun Presidennya, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, siri lawatan itu bukanlah hanya semata-mata untuk 'makan angin' saja sebaliknya beberapa siri perlawanan persahabatan turut dirancang.

Ujarnya, ia bertujuan melengkapkan persiapan Wira Merah dalam misi mengejar dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala Malaysia.

"Kita akan mengadakan perlawanan bersama sebuah pasukan tempatan di Leeds dan Liverpool selain meninjau pembangunan pengurusan pasukan Manchester United di Old Trafford nanti.

"Saya akan pergi ke sana (Manchester) hari ini (semalam) terlebih dahulu untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk penginapan dan pengangkutan semasa lawatan itu kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemberian bonus dan replika tiket penerbanganke Old Trafford di Kampung Kraf, Kota Bharu semalam.

Beliau yang melahirkan rasa bangga terhadap tahap persembahan skuad Kijang pada perlawanan Piala FA itu menyifatkan anak buah kendalian Peter James Butler itu bermain dengan penuh gentleman.

Menurutnya, satu transformasi telah berlaku dalam bola sepak negeri ini yang satu ketika hanya beraksi dalam Liga FAM, kemudian di Liga Perdana, mula mengorak langkah sedikit demi sedikit sehingga beraksi di Liga Super.

"Sekarang, kita masih lagi dalam pemburuan dua piala yang penting, Liga Super dan Piala Malaysia, jadi saya harap semua pemain perlu tanam keazaman yang tinggi untuk menjulang piala-piala ini," tambahnya.

Kelantan Kini Beralih Tumpuan

Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhsukan@bharian.com.my

ANNUAR (kanan) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Old Trafford sebagai ganjaran muncul naib juara Piala FA kepada pemain Red Warriors, semalam.

Buru trofi Liga Super dan Piala Malaysia untuk akhiri penantian 88 tahun


SELEPAS tewas dalam final Piala FA Sabtu lalu, Kelantan kini mengalih tumpuan untuk memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia, sekali gus mengakhiri penantian 88 tahun tanpa sebarang gelaran utama sejak liga tempatan diperkenalkan pada 1921.

Misi membawa pulang dua kejuaraan berprestij itu ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, yang mahu pemain segera menjadikan kekalahan perit kepada Selangor pada Sabtu lalu, sebagai pembakar semangat agar lebih membara selepas ini.

"Saingan Liga Malaysia baru memasuki pertengahan musim, di hadapan masih ada lagi dua piala yang lebih berprestij daripada Piala FA. Perjalanan Liga Super masih panjang dan kami kini pada kedudukan terbaik, walaupun menduduki tangga ketiga tetapi berkelebihan satu perlawanan.

"Selepas itu, kami akan memberi tumpuan terhadap Piala Malaysia dan saya yakin kami mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan," katanya pada majlis penyampaian tiket penerbangan ke Old Trafford kepada pemain Red Warriors di Kota Bharu, semalam.

Kunjungan ke gelanggang kelab Manchester United itu adalah hadiah daripada Kafa kepada pemain berikutan kejayaan melakar sejarah mara ke final Piala FA iaitu aksi pertama Kelantan di perlawanan akhir liga utama tempatan sejak 39 tahun lalu.

Dalam kunjungan yang dijadualkan dari 12 hingga 24 Ogos itu, pemain juga akan berkunjung ke Liverpool dan London, selain dijangka mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan dua kelab tempatan, selain menentang pasukan anak Malaysia di England.
Difahamkan, kejayaan mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala FA, membolehkan pemain dan pegawai pasukan Kelantan menerima agihan habuan keseluruhan berjumlah RM200,000 termasuk bonus kemenangan, daripada perlawanan pusingan pertama hingga aksi menentang Selangor.

Annuar yang akan berlepas ke London atas urusan kerja selepas ini, turut mengingatkan pemain supaya menjadikan aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan di Seremban, Sabtu ini sebagai titik tolak kebangkitan Kelantan dalam usaha memburu mahkota kejuaraan liga.

"Saya berharap pemain akan terus menunjukkan komitmen yang tinggi, walaupun bakal turun tanpa Indra Putra Mahayuddin, yang tidak dapat bermain kerana menerima tiga kad kuning," katanya.

Annuar berkata, tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan lebih 40,000 penyokong Red Warriors dalam final Sabtu lalu, akan dijadikan asas rayuan Kafa kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar pasukan itu dibenarkan kembali beraksi semula di Stadium Sultan Muhammed IV.

"Kafa akan mengemukakan rayuan kepada FAM agar dapat beraksi di Kota Bharu mulai Jun nanti dan kami sedang mengatur aksi persahabatan termasuk menentang pasukan bawah 23 tahun Brazil dan Selangor ketika liga berehat dua minggu awal Jun nanti, bagi membuktikan Stadium Sultan Muhammed IV selamat digunakan," katanya.

Sumber : Berita Harian Online

27 Apr 2009

Gambar warna warni Final Piala FA













Aksi Menarik Final FA Kelantan Vs selangor



credit:foot4eva09

The Red Warriors melancong ke Old Trafford

KEPULANGAN pemain Kelantan dari perlawanan akhir Piala FA disambut penyokong setia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, semalam.

DI SEBALIK gagal membawa pulang Piala FA, skuad Kelantan tetap ceria apabila mendapat ganjaran daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang bakal membawa mereka ke Old Trafford, gelanggang keramat kelab gergasi Inggeris, Manchester United. 


Pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata ganjaran ke Old Trafford diberi kepada pemain kerana Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sudah berjanji memenuhinya jika mereka mara ke perlawanan akhir itu. 

"Sebenarnya, sebaik mara ke perlawanan akhir, pemain Kelantan sudah meraih ganjaran ke Old Trafford dan mereka dijangka ke sana Ogos depan. Selain itu, pemain juga akan menerima bonus penghargaan," katanya ketika mengetuai kepulangan pasukan Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa, petang semalam.

 

Meskipun tewas, namun kepulangan pemain The Red Warriors tetap diraikan oleh penyokong fanatik mereka apabila disambut lebih 50 orang yang mengambil peluang bersalaman dengan mereka sebaik keluar dari balai ketibaan kira-kira jam 5.30 petang. 

Seluruh pasukan Kelantan jelas kecewa gagal membawa pulang Piala FA untuk memenuhi impian menggunung rakyat negeri ini terutama ribuan penyokong yang sanggup membanjiri Stadium Nasional, Bukti Jalil, malam kelmarin untuk memberi sokongan. 

"Kami berterima kasih kepada penyokong dan melahirkan rasa kecewa kepada mereka kerana gagal memenuhi harapan dengan membawa pulang Piala FA itu.

"Namun begitu, Kelantan sudah mencapai sasarannya dan selepas ini kami akan menumpukan kepada Liga Super dan Piala Malaysia pula. Pemain akan berehat selama tiga hari, sebelum menyambung semula latihan Selasa ini," katanya. 

Bharian

 

Kelantan tetap ke Old Trafford





JAMES BUTLER 


KELANTAN tetap ke Old Trafford meskipun gagal menjulang Piala FA. 
Memenuhi janji yang perlu dikotakan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap menghadiahkan ganjaran kepada skuad Kijang untuk mengadakan lawatan ke tempat di mana kelab gergasi dunia, Manchester United beraksi.

Ganjaran ini pasti membangkitkan semula semangat pemain yang luntur ekoran kegagalan merangkul kejuaraan Piala FA buat julung kalinya selepas menunggu 39 tahun apabila tumpas 1-4 kepada Selangor melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Rupa-rupanya, perancangan itu telah lama dibuat oleh pengurusan Kafa tanpa pengetahuan pemain dan dijangkakan mereka akan berlepas ke destinasi tersebut Ogos nanti.

Hari ini, satu majlis penyampaian tiket kapal terbang akan berlangsung dan ia akan disempurnakan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, skuadnya mencapai sasaran awal untuk melayakkan diri beraksi di pentas akhir piala berprestij itu dan ia merupakan satu hadiah buat peminat.

Justeru katanya, penghargaan perlu diberi kepada pemain atas usaha keras itu untuk terus memberi fokus dalam kancah saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti.

"Kita sasarkan masuk akhir, menang merupakan satu bonus, jadi ganjaran ini tetap diberikan dengan harapan semangat pemain tidak pudar," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, semalam.

Pasukan yang digelar Wira Merah ini tetap mendapat sambutan daripada kira-kira 100 peminat setia yang menunggu ketibaan mereka meskipun tidak bergelar juara.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Azman menyimpulkan nasib tidak menyebelahi anak buahnya apabila perlawanan itu berakhir dengan sepakan penalti meskipun pada awalnya mendahului menerusi gol Norfarhan Mohamad yang dijaringkan pada minit ke-92 dalam masa tambahan.

Menolak tanggapan skuad kendalian Peter James Butler itu tidak berlatih untuk membuat sepakan penalti bagaimanapun katanya, kebanyakan pemain agak keletihan selain dihantui kecederaan seperti Khalid Jamlus dan Che Hishamuddin Hassan.


PENJAGA gol Kelantan, Shahrizan Ismail (tengah) beraksi cemerlang pada perlawanan akhir Piala FA untuk menangkis asakan pemain Selangor.


"Kalau diikutkan, Norfarhan antara pemain yang akan mengambil sepakan tetapi kita terpaksa keluarkan dia awal sebab cedera.

"Semua pemain sangat letih, puas juga dipujuk untuk mengambil penalti sebab ada di antara mereka menolak," jelasnya.

Secara keseluruhan menurutnya, pemain telah mempersembahkan permainan yang terbaik dan berjaya mengejutkan Selangor dengan corak permainan pantas dan mengelirukan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong setia Kelantan yang memenuhi separuh daripada kapasiti penonton di stadium berkenaan untuk memberikan sokongan.

26 Apr 2009

Kelantan gagal penuhi impian

Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my


SELANGOR menggunakan pengalaman beraksi di pentas saingan besar untuk menuai satu lagi hasil besar apabila menjulang Piala FA buat kali kelima selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Apapun, anak didik K Devan jelas tidak memenangi mudah ketika lawan bergelar The Red Warriors itu - yang membuat penampilan pertama di final sejak 1970 - memberi saingan sengit sehingga ke minit terakhir permainan masa tambahan sebelum Merah Kuning dapat mengesahkan pingat kejuaraan.

Dengan Kelantan menampakkan gemuruh, berikutan penampilan pertama dalam final piala domestik selepas kemarau 39 tahun, skuad Merah Kuning mengambil kesempatan dengan melancarkan beberapa siri serangan ke pintu gol dengan habuannya adalah tiga sepakan sudut dalam empat minit pertama.

Ancaman Selangor berterusan selepas itu dengan Safee Sali melakukan lambungan tepat di luar kotak penalti lawan pada minit kelima, namun penjaga gol, Shahrizan Ismail bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Selepas mengekang ancaman bahaya bertali arus itu, Kelantan menemui rentak dengan percubaan pertama hadir menerusi Ezrie Shafizie Sazali minit ke-21 yang melakukan rembatan dari jarak 25 meter dan hanya sedikit melepasi palang gol.

Disuntik keyakinan, The Red Warriors nyaris berada di depan, namun rembatan Indra Putra Mahayuddin dari jarak 30 meter terkena palang gol Selangor.

Selepas rehat, Kelantan memiliki peluang awal di babak kedua, apabila sepakan percuma kapten pasukan, Badhri Radzi minit ke-48 tepat ke jangkauan Mohd Rizal Fahmi, tetapi tandukannya melepasi gol lawan.

Peluang terbaik Selangor hadir menerusi sepakan voli Rudie Ramli minit ke-67, namun Shahrizan sekali lagi bertindak cemerlang mendakap kemas percubaan itu.

Pasukan bimbingan Peter Butler itu terus menghadirkan ancaman menerusi percubaan tepat Ahmad Ezrie Shafizie (minit ke-73) dan Mohd Norfarhan Mohammad (minit ke-82), tetapi penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan buat mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sumber : Berita Harian Online

23 Apr 2009

Peta Lokasi Ke Bukit Jalil untuk Penyokong Kelantan

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Manchester United 2 [Rooney min9, Carrick min82] - Portsmouth 0

Chelsea 0 - Everton 0

MAKLUMAT UNTUK PENYOKONG

PERTANDINGAN AKHIR PIALA F.A. 2009 di STADIUM BUKIT JALIL

LALUAN BAS/KERETA KE STADIUM : Penyokong kelantan - Lebuhraya KESAS-keluar susur awan kecil-tuju ke games village-ambil jalan merah cegar-terus ker tempat letak kereta F ( dekat stadium hoki) 

TETAMU DI RAJA KELANTAN : Yang Mulia Tengku Temenggong

KARNIVAL TM : TM akan mengadakan satu karnival do perkarangan stadium bermula awal pagi sehingga wisel permainan ditiup. Sila datang awal dan menikmati karnival bersama TM ini.

PINTU MASUK PENYOKONG KELANTAN : Pintu Kuning dan Merah. Jika awal, boleh masuk duduk di bahagian astaka dengan tiket yang ada ( RM15). 

PINTU DI BUKA : JAM 4.30 Petang. Sila masuk awal untuk mengelakkan kesesakan. Pintu masuk akan dikawal ketat oleh Rela dan Polis. Frisking badan ( pemeriksaan barang larangan )akan dia adakan oleh Polis. Penyokong wanita akan di frisk oleh Polis wanita. 

LARANGAN DAN KESALAHAN

1. Botol air

2. Banner bercorak komersil ( iklan syarikat atau barang jualan ).

3. Mercun ; AKTA LETUPAN 1967. Larangan membawa/memiliki/membakar mercun. Kesalahan jenayah sivil dan tangkapan yang tidak boleh dijamin sehingga di bawa ke mahkamah. Hukuman Maksimum 7 tahun penjara, RM10,000 atau kedua dua.

4. Berkelakuan tidak sopan : Undang undang kesalahan kecil. Tangkap tanpa waran dan denda Maksimum RM300

TIKET STADIUM :

Sudah mula dijual oleh kedua pasukan di pusat pusat jualan. Tempoh jualan ialah sehingga hari Jumaat jam 6 petang atau sehingga kehabisan tiket. 

Di bukit Jalil, tiket di jual pada hari Sabtu jam 10 pagi di kaunter tiket KUNING

WARNA JERSEY : Kelantan Merah / Selangor Kuning

Lain lain info akan di muatkan dari masa ke semasa.

PEMAIN DAN PEGAWAI : Akan tiba di Kuala Lumpur hari Khamis pagi. Penerbangan AirAsia. Pasukan akan menginap di Kuala Lumpur International Hotel. Kesemua pamain yang berdaftar seramai 27 orang dan 8 pegawai akan berada di Kuala Lumpur.

LATIHAN DAN PERSIAPAN : Sessi latihan ringan akan di adakan di Padang Kelab AMAN jalan Ampang pada hari Khamis jam 5 petang. Latihan padang di Stadium ialah pada jam 8.45 malam hari Jumaat. 

Sumber:official Site KAFA

Keselamatan Diutamakan Dalam Perlawanan Akhir Piala FA

Perlawanan akhir Piala FA edisi 2009 di antara Selangor dengan Kelantan Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bakal mencorakkan landskap bolasepak negara apabila faktor keselamatan diutamakan melebihi prestij perlawanan.


Bagi skuad Kelantan bimbingan jurulatih Peter James Butler dari England, kejayaan menempatkan diri pada perlawanan akhir Piala FA merupakan pertama kali selepas 39 tahun bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetapi turut mengundang kebimbangan kepada pegawai-pegawainya.

Ini berikutan peristiwa penyokong-penyokong bola sepak Kelantan merusuh selepas "The Red Warriors" itu tewas 0-1 kepada pasukan Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Baharu, 7 April lalu.

Tiga hari kemudian, Lembaga Displin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda lebih RM100,000 ke atas KAFA dan juga pasukan Kelantan digantung beraksi di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV sepanjang musim ini. (Kelantan beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai venue rasminya).

Setiausaha Agung KAFA Mohamad Noordin Awang tidak menafikan wujudnya kebimbangan akan berlaku pergaduhan atau rusuhan terutamanya jika keputusan perlawanan memihak kepada Selangor.

"Saya tidak nafikan segelintir penyokong Kelantan berkelakuan agak agresif. Dengan kehadiran lebih 30 ribu penyokong dari Kelantan ditambah pula kehadiran penyokong Kelantan yang menetap di sekitar Lembah Klang dan negeri-negeri lain, kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku pergaduhan atau rusuhan," katanya.

Keadaan selepas perlawanan amat membimbangkan pihak KAFA, tambahnya.

Dalam pada itu, pihak FAM menjangkakan kehadiran lebih 90,000 penyokong Selangor dan Kelantan yang akan menbanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. Jumlah tersebut lebih 90 peratus daripada kapasiti 100,000 stadium itu.

"Oleh yang demikian, KAFA meminta pihak berkuasa terutamanya pihak Polis menambahkah bilangan anggota dan pegawai yang bertugas pada malam perlawanan akhir nanti.

KAFA juga berharap penyokong-penyokong Kelantan menunjukkan tahap disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi dengan tidak melakukan perkara tidak diingini walau apa sekalipun keputusan perlawanan.

"Jika penyokong Kelantan menjaga perilaku, pihak KAFA dapat meminta pertimbangan daripada FAM untuk melepaskan penggantungan menggunakan Stadium Sultan Mohamed KE-IV nanti. Pasukan Kelantan akan berpeluang sekali lagi beraksi tempat sendiri," katanya.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan pasukan Selangor, juga dikenali sebagai "The Red Giants" yang merupakan pasukan bola sepak yang paling berjaya dalam sejarah bola sepak negara dengan memenangi sebanyak empat kali (1991, 1997, 2001, 2005) Piala FA.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Hamidin Mohd Amin berkata: "Selangor sudah biasa bermain dalam perlawanan akhir Piala FA tetapi kali ini berlainan kerana berhadapan dengan pasukan yang lebih handal.

"Ini ditambah pula, pasukan Selangor akan berhadapan dengan 'suasana perlawanan yang agak berbeza' kali ini," katanya sambil melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan.

Sementara itu, Komander FRU Malaysia, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata seramai 1,279 anggota dan pegawai akan bertugas mengawasi keadaan di dalam dan luar stadium pada malam perlawanan akhir itu.

Anggota dan pegawai terdiri daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Pengesan dan lain-lain, dan mereka terbahagi kepada beruniform dan berpakaian preman.

"Penyokong-penyokong ditegah sama sekali membawa ke dalam stadium sebarang objek keras seperti minuman dalam tin dan botol air. Begitu juga dengan bahan letupan seperti mercun," katanya lagi.

Untuk mengelak penyeludupan masuk mercun, pemeriksaan badan rapi akan dilakukan di setiap pintu masuk stadium.

"Pihak Polis juga akan menempatkan anggota polis berpakaian preman di kalangan penyokong-penyokong. Jika, masih ada penyokong membakar dan melontar mercun ke padang, mereka akan ditangkap serta merta dan diambil tindakan," katanya.

-- BERNAMA

Kerajaan negeri arah naik taraf Stadium Sultan Muhammed IV

KOTA BHARU - Kerajaan negeri telah mengarahkan usaha menaik taraf tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, dilakukan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, ia bagi memastikan keadaan lebih terjamin.Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya tahap keselamatan stadium yang telah berusia itu tidak lagi dipersoalkan terutama semasa perlawanan bola sepak.

"Kita berharap apabila keadaan di stadium menjadi lebih selamat pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menimbangkan semula larangan yang dikenakan kepada pasukan negeri mengadakan perlawanan di situ," katanya di sini, semalam.

Larangan yang dikenakan itu telah menjejaskan sumber kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mengurus skuad negeri yang banyak bergantung kepada jualan tiket di gelanggang sendiri.

Menurut Abdul Fattah, antara yang akan diperkemaskan adalah pagar pemisah dan pintu keselamatan untuk pemain agar tidak mudah terdedah kepada tindak-tanduk penonton.

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu jumlah peruntukan untuk tujuan itu.

Kelantan ghairah tunggu penentuan



PEMAIN pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin (dua dari kiri) dan rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, semalam sebagai persiapan menghadapi perlawanan akhir bola sepak Piala FA, Sabtu ini.


Skuad Kijang yang akhirnya berjaya meredah halangan untuk melangkah ke Stadium Nasional, Bukit Jalil merebut Piala FA, turun padang memulakan sesi latihan, semalam sebagai persiapan menanti hari paling getir.

Mereka kelihatan cukup bersemangat untuk mencipta sejarah peribadi, juga sejarah bagi persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan negeri kerana inilah pertama kali masuk ke perlawanan akhir Piala FA sejak ia diperkenalkan.

KAFA sudah pun menjanjikan mereka ke Old Trafford dan beberapa siri perlawanan persahabatan di lubuk Manchester United dan beberapa insentif lain biarpun berdepan dengan kekangan kewangan setelah Kelantan tidak lagi dibenarkan menjadi tuan rumah.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa yang berhempas pulas memikul bebanan bagi menjayakan misi ini menyifatkan, kemenangan bakal menjadi satu kebangkitan baru dalam arena bola sepak Kelantan.

Kerajaan negeri pula cuba menokok lagi semangat mereka dengan janji imbuhan kecemerlangan RM30,000 bagi membawa pulang piala kebanggaan itu untuk tontonan rakyat kelantan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood menyatakan ia merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri bagi menghargai jasa pemain dan pengurusan mengharumkan nama negeri dalam sukan yang diminati umum ini.

"Kita pandang ke hadapan dan tinggalkan perkara yang buruk yang sudah berlaku di belakang. Buktikan kita adalah yang terbaik dan kita ada ciri-ciri untuk berjaya," katanya.

Tentunya apa yang lebih penting kini ialah keseluruhan tumpuan pemain terarah sepenuhnya terhadap perjuangan akhir itu, Sabtu ini di tengah sokongan padu penyokongnya yang menaruh harapan menggunung.

Soal bola sepak Kelantan sejak sehari dua kini mengisi banyak perbualan seharian masyarakat tanpa mengira sesiapa, mengatasi cerita politik yang tidak berkesudahan.

Keghairahan untuk mereka berduyun-duyun memberi sokongan di stadium barangkali boleh dilihat dengan jualan tiket yang hampir mencecah 10,000 daripada 20,000 yang diperuntukkan kepada KAFA sepanjang dua hari lalu.

Berpuluh-puluh buah bas yang disediakan oleh pelbagai pihak, malah termasuk dari selatan Thai bagi kemudahan membawa mereka untuk memenuhi sebahagian daripada ruang stadium itu kelak.

Namun, KAFA menasihatkan para peminat supaya mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA di kaunter yang sah - di Stadium Sultan Muhammed IV, Wisma KAFA dan Majlis Sukan Negeri agar mereka tidak terpedaya oleh sebarang sindiket yang menjual tiket palsu.

Penolong Setiausahanya, Arif Hassan memberitahu, saranan tersebut dibuat supaya para penyokong mendapatkan tiket yang sah dan mengelakkan diri daripada tertipu dengan sindiket yang menjual tiket palsu.

Kaunter-kaunter tiket akan ditutup pukul 4 petang hari ini.

utusan